Merentas sungai, meredah banjir

 |Feb 2, 2017
Gambar kredit Facebook Rozilan Salleh.
Gambar kredit Facebook Rozilan Salleh.

Keadaan banjir di Pekan, Pahang masih belum pulih di mana jumlah mangsa menyaksikan sedikit peningkatan pagi tadi.

Menurut laporan Bernama, berbanding 1,481 orang malam tadi, jumlah mangsa banjir di Pekan meningkat kepada 1,485.

Semalam, Perdana Menteri Najib Razak yang juga merupakan ahli Parlimen Pekan bergerak ke kawasannya untuk meninjau keadaan banjir selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara pada sebelah pagi.

Menulis di laman blognya, Najib memberitahu beliau sentiasa memantau dan mendapatkan laporan banjir di serata negara.

Ditemani isterinya, Rosmah Mansor, Najib meluangkan masa bersama mangsa banjir yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Kinchir, Balairaya Tanjung Lepar dan IKBN Paloh Hinai.

Najib turut berkongsi beberapa keping gambar beliau semasa membuat tinjauan, dan merakamkan simpati terhadap penduduk Pekan yang terpaksa mengharungi musibah banjir.

“Insya-Allah saya akan pastikan bantuan disalurkan kepada semua mangsa banjir yang memerlukannya, bukan sahaja di Pekan tetapi di kesemua kawasan yang terjejas di seluruh negara,” katanya.

Selain dari membuat lawatan ke pusat pemindahan banjir, Najib turut meninjau kawasan banjir dengan menaiki bot untuk melalui sungai serta jalan yang terputus hubungan.

Pengguna Facebook Rozilan Salleh memuat naik beberapa keping gambar dan video di mana Najib menaiki bot menghilir Sungai Pahang dan menziarahi mangsa banjir di Salong ke Tanjong Lepar dan juga Paloh Hinai.

Untuk menziarah mangsa banjir di Kg Kinchir pula, Perdana Menteri menggunakan kenderaan bas sekolah.

SHARE