‘Mengulat’ di KLIA, KLIA2: Spad tahan pemandu Uber, GrabCar

Jan 4, 2017
Operasi penguatkuasaan yang dilakukan secara berterusan sepanjang 2016 itu membabitkan 58 kes tangkapan yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sapu, Uber dan GrabCar serta ulat tiket. - Gambar fail.
Operasi penguatkuasaan yang dilakukan secara berterusan sepanjang 2016 itu membabitkan 58 kes tangkapan yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sapu, Uber dan GrabCar serta ulat tiket. – Gambar fail.

Lebih RM200,000 jumlah denda dikenakan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) kepada individu-individu yang mengambil penumpang secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 melalui tangkapan yang dijalankan sepanjang tahun lepas, lapor Bernama.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan Spad, Che Hasni Che Ahmad berkata operasi penguatkuasaan yang dilakukan secara berterusan sepanjang 2016 itu membabitkan 58 kes tangkapan yang terdiri daripada pemandu teksi, kereta sapu, Uber dan GrabCar serta ulat tiket.

“Aktiviti ‘mengulat’ atau menarik penumpang yang tiba di lapangan terbang ini telah berleluasa sejak bertahun lalu dan menjejaskan pendapatan para pemandu teksi berdaftar di KLIA dan KLIA2.

“Seramai 58 individu terbabit merupakan warga tempatan dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 205 (1) Akta Pengangkutan Awam Darat (Apad) 2010. Pada tahun lalu juga, sebanyak 58 kenderaan disita akibat kesalahan mengambil penumpang secara haram di KLIA dan KLIA2,” katanya pada sidang media sempena ‘Ops Parasit’ di KLIA malam tadi.

Menurut Che Hasni, dalam operasi terbaharu semalam yang bermula 6 pagi hingga 8 malam, pihaknya berjaya menahan 3 ulat teksi di KLIA serta KLIA2.

Mereka kini direman dan akan dibawa ke Mahkamah Sepang untuk sebutan kes hari ini.

Tambah beliau, pihaknya mendapati aktiviti ‘mengulat’ menjadi lebih parah dengan penglibatan pemandu Uber dan GrabCar yang mula dikesan aktif di dua lokasi tersebut sejak Oktober lepas.

“Ketika menjalankan aktiviti ‘mengulat’ itu, mereka biasanya akan menutup aplikasi digunakan bagi mengelak dikesan pihak syarikat pengendali perkhidmatan masing-masing dan kemudian akan menarik penumpang dan pelancong yang baru tiba di lapangan terbang.”

Katanya, sepanjang operasi itu dilakukan, ada pemandu yang sudah ditangkap Spad sehingga 3 kali atas kesalahan sama kerana hasil pendapatan lumayan yang berjaya diraih melalui aktiviti tersebut.

“Untuk kes seperti itu, biasanya kita akan meminta mahkamah mengenakan hukuman lebih berat berbanding sebelumnya untuk kesalahan berulang.”

Katanya, operasi penguatkuasaan untuk menangkap individu yang terlibat dengan aktiviti ‘mengulat’ akan diteruskan tahun ini dan meminta kerjasama penumpang tidak menggunakan perkhidmatan mereka. – Bernama

SHARE