Mangkuk besar tarikan kedai ramen di George Town

 |Feb 20, 2017
Gambar kredit Facebook My Voice Cafe & Studio.
Gambar kredit Facebook My Voice Cafe & Studio.

Siapa sangka mangkuk besar seberat 6.4 kilogram yang biasanya dipamerkan di kedai-kedai perhiasan kini menjadi mangkuk untuk menghidangkan ramen, sejenis makanan Jepun berbentuk mi sup, kepada pelanggan.

Ia dijadikan sebagai tarikan di restoran ‘My Voice Cafe and Studio Big Bowl Ramen’ di Chew Jetty, di sini.

Pengurus operasi restoran itu, Adrian Chee Tong Wai, 47, berkata kebanyakan pelanggan yang datang ke restoran itu terkejut melihat mangkuk yang besar dan mereka akan terus singgah untuk menikmati makanan di situ.

“Tarikan di sini adalah mangkuk yang besar. Mereka masuk ke restoran ini sebab mangkuk itu. Bagaimanapun kami turut mementingkan rasa ramen yang disediakan di sini.

“Kebanyakan pelanggan dapat menerima dan menikmati ramen yang dijual di sini walaupun ia berkonsepkan makanan Jepun,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata idea untuk membuka restoran makanan Jepun ini diperoleh selepas pemilik restoran itu melancong ke Jepun.

“Pada peringkat awal kami mengupah chef dari Jepun untuk mengajar chef tempatan selama setahun lebih. Selepas chef kami menguasai cara memasak ramen chef Jepun ini pulang ke negaranya.

“Pada mulanya kami bimbang juga pelanggan tidak suka makanan Jepun, namun sebaliknya apabila rata-rata mereka dapat menerima makanan yang kami sediakan,” katanya.

Chee berkata selain di Chew Jetty, restoran cawangan turut dibuka di Bay Avenue berdekatan Queensbay Mall di sini dan Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Beliau berkata pemilihan lokasi restoran itu di Chew Jetty adalah kerana kawasan itu adalah tumpuan pelancong walaupun agak tersorok.

“Selepas kami membuka cawangan di Chew Jetty Mei tahun lepas sambutan agak memberangsangkan mungkin kerana tarikan daripada mangkuk besar.

“Restoran ini dapat menampung 70 pelanggan bagi satu masa dan jumlahnya bertambah terutamanya pada cuti sekolah atau cuti am sehingga pelanggan kena beratur untuk menunggu giliran,” katanya.

Ditanya sama ada pihaknya mempunyai rancangan untuk meluaskan pasaran restorannya kepada orang Islam, Chee berkata rancangan itu ada, bagaimanapun memerlukan perancangan yang teliti.

“Kami mencubanya sekali tetapi tidak begitu berjaya. Kami buka stall berhampiran Hotel Vistana. Kami tidak menghidangkan daging babi. Tapi disebabkan beberapa masalah kami terpaksa tutup gerai itu,” katanya.

Beliau berkata orang Islam juga ramai yang meminta supaya pihaknya menyediakan ramen halal di Facebook.

Katanya, untuk menyediakan ramen halal pihaknya perlu mencari chef beragama Islam dan memohon sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. – Bernama