Majlis Peguam minta kerajaan cepatkan pindaan akta tukar agama anak

 |Jan 14, 2017
Gambar fail kredit Facebook Steven Thiru.
Gambar fail kredit Facebook Steven Thiru.

Majlis Peguam Malaysia mengalu-alukan pembentangan pindaan terhadap Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, November lalu, bagi menangani isu penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak atau unilateral.

Justeru, majlis itu menggesa kerajaan mempercepatkan cadangan pindaan tersebut.

Presidennya, Steven Thiru berkata semalam, cadangan pindaan itu akan memastikan kanak-kanak berkenaan kekal dalam agama ibu bapanya pada waktu perkahwinan mereka, sebelum salah seorang pasangan itu memeluk Islam.

Di samping mempercepatkan pindaan itu, kerajaan juga perlu bergerak ke arah menyeragamkan undang-undang Islam di semua negeri yang memperuntukkan kedudukan bertentangan, katanya pada majlis perasmian istiadat badan kehakiman sempena Tahun Undang-undang 2017 semalam.

Ketika cadangan pindaan akta tersebut belum muktamad, katanya, badan perundangan negeri perlu mengelak mengubal undang-undang yang membenarkan penukaran agama secara sebelah pihak.

Terdahulu, dalam ucapannya, katanya, penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak dibawa dalam wacana awam susulan kes mahkamah melibatkan ibu beragama Hindu, M Indira Gandhi dan S Deepa dengan bekas suami masing-masing yang memeluk Islam serta menukar agama anak mereka.

Disember lalu, Dewan Undangan Negeri Perlis meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2016 yang membolehkan salah seorang daripada ibu bapa menukar agama anak mereka kepada Islam.

Selain isu penukaran agama secara sebelah pihak, Thiru berkata, Majlis Peguam juga bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani isu perundangan melibatkan penderaan seksual kanak-kanak.

“Majlis Peguam terkejut dengan pendedahan kisah hampir 200 bayi dan kanak-kanak didera secara seksual dalam tempoh masa hampir 9 tahun oleh seorang pedofilia rakyat British, Richard Huckle yang tinggal di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, tindakan pantas kerajaan menubuhkan pasukan petugas mengenai jenayah seksual dan cadangan penggubalan Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak bagi menuntut pembaharuan dalam undang-undang sedia ada, membanggakan.

Katanya, akta tersebut akan memperkenalkan kesalahan baharu terhadap kanak-kanak serta memberi keutamaan kepada keterangan kanak-kanak dan juga penubuhan mahkamah khas untuk pesalah seksual kanak-kanak.

Thiru berkata, Majlis Peguam menubuhkan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak pada Ogos lalu bagi mengkaji dan mencadangkan pembaharuan perundangan untuk meningkatkan perlindungan kepada kanak-kanak serta melatih peguam mengenai etika ketika mewakili kanak-kanak yang berdepan konflik undang-undang.

Katanya, jawatankuasa itu sedang berunding dengan pasukan petugas mengenai jenayah seksual bagi membincangkan rangka kerja cadangan undang-undang bagi Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak.

“Kami sudah menulis kepada Pejabat Perdana Menteri untuk meminta salinan draf rang undang-undang dan berharap menerimanya tidak lama lagi bagi membolehkan kami memberi ulasan,” katanya. – Bernama