Mahkamah tolak saman malu Mat Sabu terhadap ketua pengarang Kumpulan Utusan

 |May 2, 2017
Gambar fail Wikimedia.

Mahkamah Tinggi George Town hari ini menolak saman malu difailkan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad dengan kos RM70,000.

Peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Aziz dan syarikat akhbar itu ketika dihubungi Bernama memberitahu Hakim Zakaria Sam memutuskan bahawa artikel dikeluarkan akhbar Utusan Malaysia berhubung ucapan Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu berhubung serangan komunis di Bukit Kepong, Muar dan pejuang kemerdekaan pada 21 Ogos 2011, tidak berunsur fitnah.

Katanya selain itu mahkamah turut memutuskan bahawa pembelaan yang dibuat defendan  iaitu justifikasi komen berpatutan dan perlindungan bersyarat adalah terpakai.

Beliau berkata mahkamah turut mendapati Mat Sabu telah membuat ucapan kontroversi yang membuka ruang untuk dirinya mendapat kecaman.

Oleh itu mahkamah memerintahkan Mat Sabu yang kini merupakan presiden Parti Amanah Negara selaku plaintif membayar kos sebanyak RM70,000 kepada kedua-dua defendan, katanya.

Pada 21 Dis 2011, Mat Sabu memfailkan saman itu dan mendakwa bahawa kedua-dua defendan dengan berniat jahat menerbitkan artikel berhubung ucapannya berkaitan serangan komunis di Balai Polis Bukit kepong, Muar pada 27 Ogos 2011 dan dua lagi artikel hari berikutnya, yang dikatakannya mengandungi elemen fitnah.

Ketiga-tiga artikel itu dikeluarkan selepas Mat Sabu menyampaikan ceramah di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Manora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Mat Sabu mendakwa penerbitan artikel-artikel itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa dia merupakan penyokong komunis, telah menyimpang daripada ajaran Islam dan hilang keyakinan dan mengiktiraf Muhammad Indera sebagai seorang pengganas komunis. – Bernama