Mahkamah Persekutuan batal rayuan pihak pendakwaan terhadap Khairuddin, Chang dalam kes Sosma

 |Apr 28, 2017
Gambar fail Wikimedia.

Bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang Wen Chieh akan menghadapi tuduhan melakukan sabotaj di Mahkamah Sesyen dan mereka tidak akan dibicarakan di bawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Sosma 2012.

Ini berikutan keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan permohonan untuk membatalkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Kami bersetuju dengan pemohon di bawah Peraturan 88 (1) Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, ia adalah mandatori bagi perayu (pendakwaan) untuk menyerahkan salinan notis rayuan dalam tempoh 14 hari kepada responden. Dalam kedua-dua kes, ini tidak dilakukan,” kata hakim Mahkamah Persekutuan Hasan Lah yang mengetuai panel tersebut.

Justeru, dengan keputusan semalam, pihak pendakwaan tidak boleh meneruskan rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan, bahawa tuduhan cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara yang dihadapi oleh kedua-dua mereka, tidak tertakluk di bawah Sosma dan bahawa keputusan itu terpakai.

Khairuddin dan Chang memfailkan permohonan untuk membatalkan rayuan pendakwaan kerana mereka mendakwa notis rayuan mempunyai kecacatan kerana notis tersebut tidak diserahkan kepada mereka.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Khairuddin dan peguam Zainur Zakaria mewakili Chang berhujah di mahkamah bahawa kegagalan pihak pendakwaan menyerahkan notis rayuan kepada kedua-dua mereka telah melanggar keperluan Peraturan 88 menyebabkan rayuan itu tidak kompeten untuk dikemukakan kepada mahkamah.

Timbalan pendakwa raya Awang Armadajaya Awang Mahmud berhujah bahawa kegagalan untuk menyampaikan notis rayuan tidak menjejaskan rayuan dan menambah notis itu difailkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Khairuddin, 55, dan Chang, 67, dituduh bersama cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan Malaysia di lima lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas. Kedua-dua mereka menghadapi hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.

Lokasi itu ialah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris; Balai Polis Charing Cross, London, United Kingdom; pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern; balai polis WaiChan, Hong Kong; dan ibu pejabat Polis Cantonment, Singapura.

Pada 18 Nov, 2015, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Azman Husin mendapati bahawa tuduhan sabotaj yang dihadapi kedua-dua mereka bukan kesalahan keselamatan dan prosedur Sosma tidak terpakai.

Hakim Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan kedua-dua mereka diikat jamin RM10,000 seorang dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan di Mahkamah Sesyen. Rayuan pihak pendakwaan ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Dis tahun lepas.

Di bawah prosedur Sosma, seseorang tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin sementara selesai perbicaraan.

Di luar mahkamah, Mohamed Haniff Khatri memberitahui pemberita bahawa Khairuddin dan Chang akan dibicarakan di bawah Akta Keterangan 1950 dan Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata perbicaraan yang ditetapkan selama dua hari bermula 11 Mei akan diteruskan. – Bernama