Mahkamah bebaskan Mat Sabu dari pertuduhan memfitnah

 |Mar 31, 2017
Presiden Parti Amanah Mohammad Sabu.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Butterworth yang melepas dan membebaskan Presiden Parti Amanah, Mohammad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Mat Sabu sebelum ini didakwa Di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan memfitnah dalam isu komunis Bukit Kepong enam tahun lalu.

Hakim Lim Chong Fong membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ketua Unit Pendakwaaan Pulau Pinang, Razali Che Ani.

Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas di Balai Polis Bukit Kepong , Muar pada 23 Februari 1950 dengan membuat tomahan  dengan niat merosakkan nama baik pejuang –pejuang tersebut.

Beliau didakwa melakukan perbuatan tu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam AL Fahmi , Markas Tarbiyah Pas Padang Menoran, Tasek Glugor pada 21 Ogos 2011.

Mat Sabu juga menghadapi satu pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis Konstabel  Marin iaitu Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono  serta keluarga mereka pada masa dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Kesiksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bekas Timbalan Presiden Pas tiba di mahkamah diiringi penyokongnya dan diwakili peguam  Aminuddin Zulkifli serta Mohamed Hanipa Maidin.

SHARE
John Albert - MO correspondence.