MAHB siap sedia sambut pelancong dan delegasi Sukan SEA, Sukan Para Asean

 |Aug 11, 2017
Gambar fail kredit Facebook Malaysia Airports.

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersedia menyambut ketibaan pelancong dan kontinjen yang akan menyertai Sukan SEA yang bermula pada 19 Ogos ini.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, tujuh hingga lapan ribu atlet akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula 14 Ogos ini sehingga 19 Ogos sebelum temasya sukan tersebut bermula.

Menurutnya, pihak MAHB dengan kerjasama sukarelawan Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) akan membantu delegasi bermula dari balai ketibaan hingga waktu mereka pulang ke negara masing-masing.

“Kami akan berbincang dengan Jabatan Imigresen bagi memudahkan urusan delegasi dan bagi mengelakkan kesesakan.

“Pihak Imigresen juga sudah bersetuju untuk membuka laluan khas untuk delegasi ini,” katanya pada sidang media di pejabat MAHB di sini, hari ini.

Badlisham berkata, pihaknya yakin dapat menampung bilangan pelancong dan delegasi yang datang ke temasya sukan tersebut kerana kapasiti kebiasaannya mereka menerima lebih 70,000 pengunjung dalam tempoh sehari.

Jelasnya, pelancong dari luar negara diberi peluang untuk berurusan di kaunter yang disediakan khas untuk pelancong tempatan sekiranya berlaku kesesakan.

Katanya, di KLIA terdapat 54 kaunter termasuk e-gate dan 68 kaunter di KLIA2.

Edisi ke-29 Sukan SEA akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos, manakala edisi kesembilan Sukan Para Asean dijadual dari 17 hingga 23 September ini. – MO