MAHB: Semua syarikat penerbangan ada masalah sama dengan Malindo Air

 |Aug 11, 2017
Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali. – Foto MO Noraizura Ahmad.

SEPANG: Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali mendedahkan isu membabitkan syarikat penerbangan Malindo Air bukanlah perkara baharu dan ia turut dialami oleh syarikat penerbangan lain di bawah pengurusan MAHB.

Menurutnya, semua syarikat penerbangan tidak terlepas daripada membayar cukai kerana ia dalam polisi yang telah ditetapkan kerajaan.

Katanya, kegagalan sesebuah syarikat penerbangan membayar cukai boleh dikenakan tindakan digantung operasi.

“Syarikat penerbangan lain juga mempunyai masalah yang sama dan mereka bukan tidak mahu bayar.

“Semua syarikat penerbangan perlu membayar satu amaun yang berlainan dalam tempoh satu bulan ke bulan yang lain kerana ia bergantung kepada bilangan pelanggan.

“Kadang-kadang bilangan pelanggan kurang dan ada masa meningkat, tidak sama rata. Ini memberi kesan kepada jumlah amaun yang perlu dibayar mereka,” katanya pada sidang media di pejabat MAHB di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai jumlah cukai tunggakan lapangan terbang Malindo Air yang dikatakan mencecah RM70 juta.

Jelasnya, Malindo Air sejak mula beroperasi hingga sekarang sudah menerima lebih tiga hingga empat juta pelanggan.

Katanya, disebabkan peningkatan bilangan pelanggan dijangka mereka akan mengalami masalah dari segi kelewatan mendapatkan invois pembayaran cukai berkenaan.

Badlisham berkata, bagi mengelakkan masalah yang sama berulang semula, pihaknya melancarkan portal bil dalam talian dua minggu lalu untuk kegunaan hampir 15,000 pelanggan, pembekal, rakan perniagaan dan syarikat penerbangan.

Menurutnya, portal itu akan membolehkan proses kewangan yang lebih cekap dan telus.

“Kami sedang memperbaiki dan ini adalah usaha kita dengan portal bil dalam talian ini bagi memastikan tiada lagi isu sama pada masa akan datang,” katanya.

Isu Malindo Air mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk tguran daripada Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi serta aktivis Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada minggu lalu telah membuat pertemuan dengan Pengerusi MAHB berhubung perkara tersebut dan menyerahkan kepada MAHB untuk melakukan siasatan.

Sementara itu, mengenai usul memindahkan operasi Malindo Air ke KLIA2, Badlisham berkata proses itu memerlukan perbincangan sebelum keputusan dibuat.

Menurutnya, syarikat penerbangan tersebut mempunyai sambungan penerbangan dengan Qatar dan Turki yang beroperasi di KLIA. – MO