Mahathir lebih banyak bersuara berbanding Presiden Pribumi, PAS keliru

 |Jan 26, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man .
Gambar fail kredit Facebook Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menyuarakan kekeliruan parti Islam itu terhadap pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi).

Bercakap kepada Antarapos, Tuan Ibrahim berkata dilihat bekas perdana menteri yang juga pengerusi Pribumi Mahathir Mohamad yang lebih banyak mengeluarkan kenyataan berbanding presiden parti Muhyiddin Yassin.

Tuan Ibrahim juga mengutarakan pendapatnya bahawa Mahathir hanya sekadar penasihat parti yang menurutnya tidak terlibat dalam perbincangan dan rundingan yang berlaku di antara Pribumi dan PAS.

“(Sekarang) ni presiden parti adalah Tan Sri Muhyiddin, Tun M sebagai penasihat. Dia (Muhyiddin) tidak laju (keluarkan kenyataan). Banyak kenyataan dikeluarkan Tun M dan presiden (Muhyiddin) tak ada kenyataan. Sepatutnya kenyataan dikeluarkan presiden, Tun M tak terlibat dalam perbincangan dan rundingan dan dia tak tahu apa berlaku dan dibincangkan,” Tuan Ibrahim dipetik berkata oleh Antarapos.

Beliau turut berpendapat Pribumi perlu menyelesaikan hal dalaman parti terlebih dahulu.

“Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz (Mahathir) memahami apa yang kita bincang selama ni pun, cuma saya fikir PPBM¬† (Pribumi) perlu selesai hal dalaman (parti) siapa yang nak kena ikut? Presiden ke penasihat? Kami pun jadi pening kepala juga,” katanya lagi.

“Ini urusan dalaman parti Bersatu (Pribumi) yang sepatut diselesaikan, sampai ada orang tanya siapa presiden sekarang dalam Bersatu (Pribumi) ni?” kata Tuan Ibrahim kepada Antarapos.

Tuan Ibrahim juga menafikan PAS ‘degil’ dalam soal diajak bekerjasama.

Katanya lagi, parti Islam itu sentiada terbuka untuk rundingan asalkan menghormati dasar perjuangan masing-masing.

Pada satu sidang media semalam, Mahathir berkata Pribumi akan mengadakan rundingan bersama PAS pada bulan Februari ini.