Mahathir dicabar lapor isu BR1M kepada SPRM

Jan 3, 2017
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dicabar membuat laporan kepada SPRM berhubung isu BR1M. - Gambar fail kredit Global Peace Award.
Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dicabar membuat laporan kepada SPRM berhubung isu BR1M. – Gambar fail kredit Global Peace Award.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dicabar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan kepada rakyat sebagai rasuah, lapor Bernama.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri Yaakob yang melemparkan cabaran itu berkata, berbanding kenyataan terbuka, laporan rasmi kepada SPRM akan membolehkan suruhanjaya itu membuka kertas siasatan, menangkap dan mendakwa penerima bantuan berkenaan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, dalam kes rasuah, pemberi dan penerima merupakan mereka yang berada di pihak yang salah dan boleh dikenakan hukuman berdasarkan peruntukan undang-undang.

“Pada saya apa juga pemberian kerajaan untuk membantu rakyat tidak boleh dianggap rasuah dan atas sebab itulah, saya cabar Mahathir kemukakan laporan rasmi kepada SPRM, minta mereka lakukan siasatan.

“Saya bagi contoh, Tabika Kemas, jika tidak ada bantuan kerajaan, ibu bapa perlu membayar sekurang-kurangnya RM200 untuk seorang murid, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memberi wang tunai kepada Orang Kurang Upaya, warga emas dan golongan sasar… adakah ini juga dikira rasuah?” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau keadaan di Tabika Kemas Sri Siantan di sini, hari ini bersempena hari pertama sesi persekolahan 2017, Ismail Sabri berkata tindakan Mahathir itu tidak lebih daripada sekadar melepaskan rasa sakit hati terhadap kerajaan, khususnya Umno yang dianggap gagal memberikan tempat kepada anaknya bekas Menteri Besar Kedah Muhkriz Mahathir.

Mengenai dakwaan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bahawa jemaah yang menunaikan ibadah haji melalui Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai tidak mabrur, beliau berkata Mahathir tidak berhak menentukan perkara tersebut.

“Dalam hal ini, saya rasa Mahathir tidak ada hak, malah bukan sahaja Mahathir, mufti atau sesiapa sahaja tidak boleh untuk menentukan haji seseorang itu mabrur atau sebagainya kerana setiap ibadah, pahalanya ditentukan oleh Allah SWT,” katanya.

Dakwaan tersebut dibuat Mahathir sewaktu berceramah di Taman Wira Mergong di Alor Setar, Kedah baru-baru ini. – Bernama

SHARE