Mahathir balas kritikan Sultan Johor

 |Jan 17, 2017
Gambar fail kredit Global Peace Foundation.
Gambar fail kredit Global Peace Foundation.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan kenyataan yang dibuat mengenai pembangunan di Johor Bharu.

Menulis di laman blognya chedet.cc, Mahathir berkata demikian sebagai kenyataan balas terhadap temuramah yang diberikan Sultan Johor kepada suratkhabar bahasa Inggeris The Star.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam mempertahankan isu projek pembangunan Forest City dan menyelar Mahathir Mohamad yang didakwa mementingkan politik lebih dari rakyat Malaysia, terutamanya Johor.

Di dalam temubual ekslusif bersama The Star, Sultan Ibrahim berkata Mahathir telah memutarbelitkan isu mengenai pelaburan dari negara China di Johor.

Sultan Ibrahim turut mendakwa Mahathir memainkan politik ketakutan dan kaum yang tidak mempunyai tempat di Johor kerana baginda sendiri tidak percaya dengan politik perkauman.

Mahathir hari ini berkata beliau berharap di dalam tindakannya memberi respon, beliau tidak akan ditahan dan dipenjarakan tanpa perbicaraan.

“Jika ada perbicaraan, saya mengalu-alukan jika saya ditahan,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata adalah mudah menuduhnya sebagai seorang yang rasis.

“Tindakan melabel dan memburuk-burukkan (saya) sebenarnya mendedahkan kekurangan hujah yang kukuh untuk membidas apa yang saya kata atau buat,” dakwa Mahathir.

Beliau mempertahankan apa yang dibuatnya, menjelaskan bahawa sekiranya beliau benar rasis, zaman pentadbirannya sebagai Perdana Menteri mungkin dicemari kekacauan dan kemunduran.

Namun sebaliknya, kata Mahathir di mana selama 22 tahun beliau memegang tampuk pemerintahan negara, Malaysia maju dan tiada pertembungan kaum yang signifikan.

Bercakap lebih spesifik mengenai Forest City, Mahathir menjelaskan bahawa apa yang dikatakannya hanyalah mengulangi laporan di agensi media Bloomberg yang dibuat pada 22 November tahun lepas di mana media itu menyatakan syarikat dari China akan membangunkan Forest City yang boleh menampung 700,000 penduduk.

“Bloomberg juga berkata rakyat China telah diterbangkan untuk melihat model projek tersebut dan mereka telah dan akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City.

“Saya meragui Melayu dan Cina di Johor akan membeli apartmen ini. Tidak ada seramai itu rakyat Malaysia untuk membeli kesemua hartanah ini.

“Bloomberg, di dalam laporan yang sama berkata terdapat 60 pembangunan yang seakan Forest City dan ini juga dijual kepada rakyat China,” tulis Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu kemudiannya menyingkap sejarah tahun 1819 di mana Sultan Ali dari Johor tidak mahu memajakkan Singapura kepada British. Kemudiannya, Temenggong Johor menandatangani surat pajakan tersebut.

“Lihat Singapura hari ini. Sebahagian dari negeri Johor kini adalah negara asing – negara yang maju tetapi masih negara asing,” katanya.

Berbalik kepada isu Forest City dan 60 pembangunan lain yang dimaksudkannya, Mahathir berkata walaupun tempat-tempat baru ini tidak akan menjadi negara asing, namun ia akan mempunyai jumlah penduduk asing yang tinggi.

“Jika mereka duduk lama di sini, mereka akan layak menjadi rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pelaburan langsung asing (FDI) pula, Mahathir mengakui beliau turut menggalakkan perkara itu semasa pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.

“Tetapi (FDI) itu bukan mengenai membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjualnya kepada orang asing yang akan tinggal di sini.

“FDI ialah mengenai pelaburan di dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia akan membina bangunan dan orang Malaysia akan diambil untuk bekerja di dalam industri tersebut. Mereka akan memperolehi kemahiran dan kemudiannya mampu memulakan perniagaan pembuatan sendiri.”

Mahathir menjelaskan kontraktor di Malaysia mampu membina pelbagai jenis bangunan dan juga mampu membangunkan tanah.

“Kita tidak perlukan orang asing untuk membuat semua ini. Lihat Malaysia sekarang. 90 peratus atau lebih bangunan dan pembangunan dilakukan syarikat Malaysia. Majority pembelinya adalah orang Malaysia dan merekalah yang tinggal di sana.”

Mahathir juga turut membidas kenyataan Sultan Ibrahim semalam yang berkata Mahathir pernah mengamalkan dasar pandang ke timur.

“Pandang ke timur bukan bermaksud meminta negara-negara di timur membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjual kepada rakyat mereka,” kata Mahathir.

“Ya, kita menggalakkan orang luar menjadikan Malaysia rumah kedua mereka. Tetapi jumlah ini adalah kecil. Pandang ke timur bukan untuk beratus ribu orang luar masuk ke sini. Ianya adalah untuk rakyat Malaysia sendiri mempelajari pembangunan di negara timur.”

Untuk membaca kenyataan penuh Mahathir, sila klik pautan ini: http://chedet.cc/?p=2400