‘Lim Kit Siang tidak berani mencuit Tunku Abdul Aziz’

Jan 11, 2017
Rafizal Abdul Rahim (gambar) menyifatkan alasan diberikan Lim Kit Siang untuk tidak menyaman Tunku Abdul Aziz sebagai 'dangkal dan bacul'. - Gambar fail kredit Facebok Rafizal Abd Rahim.
Rafizal Abdul Rahim (gambar) menyifatkan alasan diberikan Lim Kit Siang untuk tidak menyaman Tunku Abdul Aziz sebagai ‘dangkal dan bacul’. – Gambar fail kredit Facebok Rafizal Abd Rahim.

Mengapa penasihat DAP hanya menyaman akhbar dan media massa yang dikatakan pro kerajaan?

Itu persoalan ditimbulkan Ketua Pemuda Pulau Pinang Rafizal Abdul Rahim terhadap tindakan Lim Kit Siang yang memilih untuk menyaman media berikutan dakwaan dibuat Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Menurut laporan Umno Online hari ini, Rafizal mempersoalkan kenapa media dijadikan kambing hitam sedangkan mereka hanya melaporkan dakwaan yang dibuat Tunku Abdul Aziz.

Rafizal merujuk kepada dakwaan yang dibuat bekas naib pengerusi DAP tersebut bahawa telah berlaku pakatan rahsia di antara Lim dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di mana mereka membuat janji untuk mengangkat Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Lim sebagai timbalannya jika Pakatan Harapan berjaya menakluk Putrajaya.

“Yang lebih dramatik adalah Kit Siang hanya menyaman akhbar dan media massa yang dikatakan pro kerajaan… mengapa tidak mengambil tindakan saman terhadap portal Malaysiakini yang juga menyiarkan perkara yang sama,” soal Rafizal.

Dalam perkembangan yang sama, Rafizal menyifatkan alasan diberikan Lim untuk tidak menyaman Tunku Abdul Aziz sebagai ‘dangkal dan bacul’.

Lim ketika disoal media minggu lalu samada beliau akan menyaman Tunku Abdul Aziz berkata beliau tidak berminat untuk ‘membuang masa dengan orang yang membuat dakwaan itu kerana sudah hilang hormat, kepercayaan dan kredibiliti’ terhadapnya.

“Sepatutnya Kit Siang saman Tunku Aziz atau sebenarnya dia takut kebenaran akan terdedah sekiranya dengan menyaman Tunku Aziz segalanya akan terbongkar di mahkamah,” Rafizal dipetik berkata oleh Umno Online.

Rafizal mendakwa Lim tidak berani untuk mencuit Tunku Abdul Aziz maka tindakan saman diambil untuk menyekat media dari terus menyiarkan kenyataan dikeluarkan bekas ahli DAP itu.

Berikutan itu, Rafizal melontarkan cabaran kepada Lim untuk menyaman dan membuat pengakuan bersumpah menafikan tuduhan Tunku Abdul Aziz.

Dakwanya lagi, Pemuda Umno yakin dan percaya DAP tidak akan berani untuk mengambil tindakan terhadap Tunku Abdul Aziz walaupun selepas ini mungkin ada lagi pendedahan yang akan dibuat olehnya.