Lelaki rentung dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan

 |Jul 13, 2017

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rentung selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 321.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah, Perak, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Iswara dikatakan tercampak keluar selepas kenderaan itu dipercayai merempuh pembahagi jalan.

Pada masa sama, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dari arah yang sama gagal mengelak dan melanggar mangsa dan kereta, menyebabkannya tersepit di bawah Estima sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar.

Difahamkan, kejadian tersebut turut menyebabkan tiga mangsa yang berada di dalam Estima mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.31 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, anggota yang tiba mendapati kedua-dua kenderaan terbakar dan menjalankan kerja pemadaman.

“Anggota menemui mangsa yang rentung dan tersepit di bawah Toyota Estima dan menggunakan peralatan kecemasan untuk membawa mangsa keluar.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat. – MO

SHARE