Lelaki ditahan disyaki pasang bom pada kereta bekas kekasih

 |Jul 10, 2017
Gambar kredit Facebook Klangkampunghalamanku.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai meletakkan bom buatan sendiri di bumper kereta milik bekas kekasihnya dalam kejadian di Kapar, Klang, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek yang berusia 28 tahun ditahan kira-kira jam 3.30 pagi tadi di sebuah rumah di Taman Petaling Indah, Klang.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam rumah menemui beberapa alat elektronik termasuk alatan dan mercun letupan yang disyaki digunakan untuk membuat bahan letupan (IED).

“Suspek mengaku sebagai bekas kekasih mangsa dan mereka dikatakan ada perbalahan dalam soal kewangan.

“Pemeriksaan mendapati suspek merupakan bekas pelajar kolej swasta dalam bidang elektronik pada tahun 2006 dan pernah bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai elektrik,” katanya dalam satu kenyataan.

Gambar kredit Facebook Klangkampunghalamanku.

Fadzil berkata, polis masih menjalankan siasatan bagi menentukan motif sebenar kejadian.

Menurutnya, suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga 13 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Letupan 1957.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai jururawat terkejut apabila terdengar bunyi pelik sebelum berhenti di rumah bapa saudaranya di Taman Damai, Kapar untuk meminta bantuan.

Pemeriksaan bapa saudaranya menemui sejenis objek yang diubahsuai seperti bahan letupan dilekat di bumper kereta mangsa yang berusia 27 tahun.

IED itu dimusnahkan di kawasan padang bola bersebelahan Balai Polis Kapar dengan menggunakan robot pemusnah bom (TEODOR), 2.30 pagi semalam. – MO

SHARE