Lelaki ditahan berhubung kenyataan fitnah Adenan Satem

 |Jan 12, 2017
Gambar fail Wikimedia Commons.
Gambar fail Wikimedia Commons.

Polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun yang disyaki mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem yang meninggal dunia semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Dev Kumar berkata, suspek ditahan pada jam 12.05 tengah malam tadi oleh JSJ Kuching di kediamannya di RPR Landeh Kuching.

“Telefon bimbit suspek dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat pagi ini, 13 laporan polis dibuat di 8 daerah terhadap 4 pemegang akaun Facebook yang didakwa membuat catatan berbentuk fitnah dan siasatan masih berjalan.

“Kami sedang memantau laman media sosial dan tidak akan teragak-agak menahan sesiapa yang membuat catatan fitnah atau komen berbentuk hasutan terhadap ketua menteri atau sesiapapun,” katanya.