Larangan ‘kapcai’ tidak dilaksanakan jika rakyat tidak setuju, kata Ku Nan

 |Jan 19, 2017
Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan larangan motosikal 'kapcai' daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur itu diputarbelitkan pihak tertentu. - Gambar fail kredit Facebook Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan Tengku Mansor berkata cadangan larangan motosikal ‘kapcai’ daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur itu diputarbelitkan pihak tertentu. – Gambar fail kredit Facebook Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan menjelaskan larangan motosikal ‘kapcai’ daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur hanyalah cadangan dan ia tidak akan dilaksanakan jika rakyat tidak bersetuju.

Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih mesra dengan panggilan Ku Nan berkata cadangan itu diputarbelitkan pihak tertentu.

“Kami merasai nadi rakyat, kalau rakyat tak mahu, kami akan ikut pandangan rakyat, jadi pengguna motosikal ‘kapcai’ jangan bimbang dan kita tidak akan laksanakannya,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan itu antara usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon, selain bagi menangani jenayah ragut dan pelaksanaannya akan dipertimbangkan jika tambang pengangkutan awam berpatutan.

“Kita sedang melihat perkara (cadangan) ini, saya kata ‘berkemungkinan’, mungkin ya atau mungkin tidak.

“Saya tahu kebanyakan warga kita perlukan kenderaan ini (motosikal kapcai), kebanyakan rakyat khususnya golongan bawahan, mereka menggunakan kenderaan ini ke tempat kerja dan sebagainya kerana ia menjimatkan,” katanya.

Laporan berhubung cadangan itu menjadi viral di media sosial dan dibantah orang ramai.

Terdahulu, Tengku Adnan merasmikan butik “ready to wear” atau RTW yang dikenali sebagai Bohari milik pereka fesyen, Ridzuan Bohari di Sunway Putra Mall.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ku Nan berharap Kuala Lumpur akan terus menjadi syurga beli-belah dengan lebih banyak pembukaan outlet perniagaan di pusat beli-belah sekitar ibu kota.

“Dengan wujudnya banyak outlet sebegini (seperti perniagaan Bohari) ia sedikit sebanyak menarik lebih ramai pengunjung datang ke Kuala Lumpur, dan kita harapkan produk tempatan juga berkembang ke peringkat antarabangsa,” katanya.