Laporan penuh punca kebakaran HSA dijangka diperoleh September ini

 |May 8, 2017
Hospital Sultanah Aminah. – Gambar fail kredit Wikipedia.

Laporan penuh punca kebakaran di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Oktober lepas, dijangka akan diperoleh September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Ayub Rahmat berkata siasatan terbabit dilakukan Jawatankuasa Siasatan Bebas Insiden Kebakaran Wad ICU HSA.

“Kementerian Kesihatan telah menubuhkan jawatankuasa terbabit untuk prosiding laporan penuh punca kebakaran, namun, keputusan siasatan punca kebakaran belum dimaklumkan kepada pihak hospital secara rasminya setakat ini,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar hari ini.

Ayub berkata demikian menjawab soalan Yeo Tung Siong (DAP-Pekan Nenas) yang ingin tahu mengenai perkembangan kerja penyelenggaraan HSA, kos, hasil siasatan punca kebakaran serta langkah berjaga-jaga yang dilakukan.

Beliau berkata kerja penyelenggaraan yang memerlukan pembaikan serta merta telah selesai dilakukan dengan kos sebanyak RM1.157 juta.

Katanya bagi kerja-kerja pendawaian semula, pencegahan kebakaran dan pembaikan wad pula kini di peringkat penilaian dan pemeriksaan balas oleh pihak Kementerian Kesihatan.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak HSA sudah memasang alat pengesan asap mengikut spesifikasi bomba, akan mengadakan latihan kebakaran bersama bomba yang dirancang pada 15 Ogos depan, melaksanakan audit kebakaran empat kali setahun dan menambah alat pemadam api jenis debu kering,” katanya.

Menurut Ayub, HSA turut menubuhkan Pasukan Bertindak Kecemasan yang disertai 40 kakitangan hospital berkenaan dan mereka sudah menjalani latihan asas keselamatan kebakaran bersama pihak bomba mulai 20 hingga 22 Dis lepas.

Katanya Minggu Kesedaran Pencegahan Kebakaran juga kini dijadikan acara tahunan di HSA dengan kerjasama bomba  yang merangkumi pameran, ceramah serta cara mengendalikan alat pemadam api.

Kejadian kebakaran di tingkat dua wad ICU selatan hospital berkenaan, pada 25 Okt lepas menyebabkan enam pesakit terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut manakala seorang lagi terselamat. – Bernama