Laporan kepada SPRM terhadapnya dibuat dengan niat jahat, dakwa Noraihan

 |Jan 27, 2017
Noraihan Che Ali. - Gambar fail MO.
Noraihan Che Ali. – Gambar fail MO.

Pengarah Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Noraihan Che Ali mendakwa laporan kepada SPRM yang dibuat terhadapnya adalah dengan niat yang jahat menuduhnya memalsukan tandatangan Allahyarham suaminya.

Noraihan turut mendakwa bahawa bekas pengarah SPRM Bahri Mohamad Zin dilaporkan berkata bahawa operasi SPRM untuk menggeledah rumah dan pejabat Noraihan telah diketuai oleh pegawai lain dan bukan oleh beliau sendiri.

“Walau bagaimanapun, beliau sepatutnya tahu bahawa pegawai yang menjalankan penggeledahan tersebut datangnya dari Bahagian Operasi Khas SPRM yang mana ketua bahagian tersebut adalah merupakan diri beliau sendiri ketika itu,” katanya.

“Saya tuntut daripada pihak-pihak Datuk Bahri, SPRM dan juga PDRM untuk menjelaskan di manakah dalam kes perebutan harta pusaka yang mana mengikut hukum agama Islam menjadi hak isteri dan anak Allahyarham menjadi suatu kes kepentingan awam berprofil tinggi hingga memerlukan penglibatan Bahagian Operasi Khas SPRM untuk mengetuai siasatan?

“Saya juga berbesar hati sekiranya Datuk Bahri, mahupun pihak SPR dan PDRM boleh menjelaskan apakah hasil siasatan Bahagian Operasi Khas SPRM terhadap saya dan kenapa dokumen-dokumen berkenaan peninggalan harta Allahyarham suami saya¬† yang dirampas oleh mereka dalam serbuan lebih setahun lalu di rumah dan pejabat saya masih hingga kini tidak dipulangkan?

“Saya ingin mengulangi kenyataan oleh peguam saya Ahmad Zaharil Muhaiyar bahawa kes ini merupakan kes perebutan harta pusaka Allahyarham suami saya kerana kononnya terdapat satu wasiat yang telah dibuat oleh suami saya dan dikemukakan oleh pihak Noor Haslina binti Abdullah dengan menamakan ahli keluarganya sebagai waris yang sah sambal mengenepikan saya serta anak lelaki saya,” katanya lagi merujuk kepada isteri Bahri.

“Noor Haslina telah secara senyap memfailkan surat wakil kuasa harta pusaka di bawah nombor kes WA-32NCVC-463-03/2016. Sebaik sahaja saya mendapat tahu kewujudan saman pemula ini saya telah mengarahkan Ahmad Zaharil untuk mengenepikan saman ini. Di atas kebijaksanaan beliau pihak Noor Haslina telah menarik balik saman pemula tersebut dalam suatu prosiding mahkamah pada 26hb Januari 2017.”

“Perbuatan memfailkan saman pemula dan permohonan surat wakil kuasa serta penarikan balik saman pemula di atas secara tergesa-gesa menunjukkan niat jahat Noor Haslina untuk menafikan hak saya dan anak sebagai balu dan anak yatim kepada Allahyarham suami saya.

“Oleh itu ingin sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa kes ini adalah kes kekeluargaan dan bukannya satu kes berprofil tinggi yang menjadi kepentingan orang ramai.

“Saya amat berharap agar laporan polis oleh Datuk Bahri ini akan mendorong pihak PDRM untuk mempercepatkan siasatan mereka terhadap perkara ini yang telah menyebabkan saya serta keluarga hidup dalam ketakutan dan kesedihan yang amat sangat selama lebih satu tahun yang berlalu,” tambahnya berhubung laporan polis dibuat Bahri minggu lepas yang mendakwa bahawa Noraihan telah membuat laporan polis palsu.