Lanjut tempoh perkhidmatan hakim: PH serah memorandum kepada YDP Agong

 |Aug 2, 2017
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua dari kanan) bersama penasihat DAP Lim Kit Siang (dua dari kiri), naib presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa (kiri) dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan). – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) hari ini menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V untuk membuat rujukan ke Mahkamah Persekutuan berhubung persoalan perlanjutan perkhidmatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, berdasarkan Perlembangaan Persekutuan, perlantikan dua jawatan yang diumumkan itu adalah dibuat oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan baginda berhak untuk mengemukan perkara tersebut untuk diputuskan di Mahkamah sebelum ianya berkuatkuasa.

“Kami yang mewakili empat parti gabungan dalam PH melalui warkah ini menyeru agar Tuanku Yang Dipertuan Agong melaksanakan budi bicara untuk membuat satu rujukan ke Mahkamah Persekutuan berkenaan persoalan samada pelantikan semula itu sah ataupun tidak.

“Ini adalah untuk menjamin Tuanku dapat memelihara keluhuran perlembagaan Malaysia daripada dicemari, demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya selepas menyerahkan memorandum di Istana Negara di sini, hari ini.

Kira-kira jam 3 petang tadi, Tun Mahathir bersama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden Amanah Datuk Mujahid Yusof Rawa dilihat masuk ke kawasan Istana Negara bagi menyerahkan memorandum sebelum keluar kira-kira setengah jam kemudian.

Turut berada di luar pintu pagar istana adalah beberapa ahli Parlimen pembangkang dan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang hadir memberikan sokongan.

Mahathir mendakwa, isu perlantikan semula jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 7 Julai lalu adalah mencabuli Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, jawatan Ketua Hakim Negara mahupun Presiden Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan dilanjutkan selepas penjawat itu mencapai umur 66 tahun dan 6 bulan.

Katanya, perlanjutan semula jawatan Ketua Hakim Negara yang disandang Tan Sri Md Raus Sharif akan berkuatkuasa dalam masa dua hari lagi, iaitu pada 4 Ogos 2017.

Tan Sri Zulkefli Makinudin yang juga Presiden Mahkamah Rayuan turut dilantik sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan untuk tempoh dua tahun bermula pada 28 September ini.

“Sekiranya perkara ini tidak ditangani segera, ia akan mewujudkan satu krisis kehakiman kerana kesemua perbicaraan ataupun keputusan selepas 4 Ogos nanti akan menjadi tidak sah.

“Malah sistem pentadbiran badan kehakiman yang juga dikendalikan oleh Ketua Hakim Negara akan menjadi cacat disebabkan badan kehakiman tidak diuruskan hakim yang sah di sisi Perlembagaan.

“Di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan, cuma Tuanku yang boleh membuat rujukan permasalahan perlembagaan untuk ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Jelasnya, pihak Istana Negara memberi sambutan yang baik ketika menyerahkan memorandum tersebut. – MO