La La Land menang besar di Anugerah Golden Globes

Jan 9, 2017
Ryan Gosling dan Emma Stone masing-masing membawa pulang anugerah pelakon terbaik bagi filem musikal atau komedi di Anugerah Golden Globes yang berlangsung pagi tadi (waktu Malaysia). - Gambar kredit Lionsgate.
Ryan Gosling dan Emma Stone masing-masing membawa pulang anugerah pelakon terbaik bagi filem musikal atau komedi di Anugerah Golden Globes yang berlangsung pagi tadi (waktu Malaysia). – Gambar kredit Lionsgate.

Anugerah Golden Globes 2017 yang sudah melabuhkan tirai menyaksikan filem musikal La La Land muncul sebagai pemenang bagi tujuh kategori termasuk filem musikal atau komedi terbaik dan lakon layar terbaik.

Filem arahan Damien Chazelle itu mengisahkan tentang pemain piano jazz dan seorang pelakon yang bertemu di kota yang sinonim dengan kehidupan glamor, Los Angeles.

La La Land juga membawa pulang anugerah pengarah terbaik, musik asal terbaik, dan juga lagu tema terbaik (City of Stars).

Selain itu, Ryan Gosling turut dinobatkan pelakon lelaki terbaik bagi kategori filem musikal atau komedi menerusi wataknya sebagai Sebastian di dalam La La Land.

Emma Stone yang turut membintangi filem tersebut sebagai Mia juga membawa pulang anugerah pelakon wanita terbaik bagi kategori filem musikal atau komedi.

Filem Moonlight arahan Barry Jenkins pula dinobatkan filem drama terbaik.

Isabelle Huppert menerusi filem Elle dan Casey Affleck menerusi filem Manchester By The Sea masing-masing membawa pulang anugerah pelakon (lelaki dan wanita) terbaik bagi kategori filem drama.

Affleck yang merupakan adik kepada pelakon terkenal Ben Affleck mengalahkan pelakon ‘otai’ Denzel Washington yang dicalonkan untuk filem Fences dan Viggo Mortensen yang dicalonkan untuk filem Captain Fantastic.

Anugerah pelakon pembantu wanita terbaik pula dimenangi Viola Davis menerusi filem Fences, serta anugerah pelakon lelaki terbaik menjadi milik pelakon filem Nocturnal Animals, Aaron Taylor-Johnson.

Filem animasi Disney, Zootopia membawa pulang anugerah filem animasi terbaik, mengalahkan Moana, My Life As A Zucchini, Sing dan Kubo And The Two Strings.

Elle, filem Perancis arahan Paul Verhoeven pula mengalahkan Divines (Perancis), Neruda (Chile), The Salesman (Iran dan Perancis) serta Toni Erdmann (Jerman) bagi kategori filem asing terbaik.

Bagi kategori televisyen, rancangan bersiri The Crown memenangi anugerah drama bersiri televisyen terbaik. Claire Foy yang memegang watak Ratu Elizabeth kedua di dalam siri The Crown membawa pulang anugerah pelakon wanita terbaik bagi drama bersiri televisyen.

Bagi kategori pelakon lelaki terbaik untuk drama bersiri televisyen terbaik, Billy Bob Thornton muncul sebagai pemenang menerusi siri Goliath.

Atlanta pula muncul pemenang rancangan bersiri musikal atau komedi televisyen terbaik.

Tracee Ellis Ross menerusi rancangan televisyen Black-ish membawa pulang anugerah pelakon wanita terbaik bagi rancangan bersiri musikal atau komedi.

Bagi pelakon lelaki terbaik rancangan bersiri musikal atau komedi pula, Donald Glover mengalahkan Jeffrey Tambor, Nick Nolte, Gael Garcia Bernal dan Anthony Anderson untuk muncul juara menerusi rancangan Atlanta.

Bagi pelakon pembantu wanita terbaik rancangan televisyen, Olivia Colman membawa pulang anugerah menerusi lakonannya di dalam rancangan The Night Manager.

Pelakon Hugh Laurie memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik bagi rancangan televisyen, juga menerusi rancangan The Night Manager.

Pelakon veteran Meryl Streep dinobatkan sebagai penerima Anugerah tahunan Cecil B. Demille.

*keputusan Anugerah Golden Globes di atas diambil dari laman rasmi Golden Globes.