KWSP tidak hadapi masalah kewangan, kata menteri

 |Feb 24, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dato’ Abdul Rahman Dahlan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak menghadapi masalah kewangan seperti didakwa oleh pembangkang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata jika KWSP berada dalam kesulitan atau mengalami kerugian, agensi itu tidak akan mampu membayar dividen langsung, apatah lagi mengeluarkan dividen 5.7 peratus bagi 2016.

Bekas Anggota Parlimen dari Parti Amanah Negara, Dr Dzulkefly Ahmad, Anggota Parlimen Kelana Jaya Wong Chen (PKR) dan Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok (DAP) menuduh KWSP kini mengalami masalah kewangan, justeru mengisytiharkan kadar dividen yang lebih rendah pada 5.7 peratus bagi 2016 berbanding 6.4 peratus pada tahun sebelumnya.

Tiga ahli politik senior itu turut mendakwa ia berikutan pelaburan KWSP dalam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dengan secara tidak benar mendakwa melibatkan nilai RM1.72 bilion.

Abdul Rahman, yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) berkata pendedahan KWSP kepada 1MDB adalah RM200 juta, dan bukannya RM1.72 bilion.

Katanya pelaburan ini adalah dalam bentuk Sukuk 30 tahun yang dikeluarkan pada 2009 dan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan.

Menjelas dengan lebih lanjut, pendedahan KWSP juga adalah bagi dua bon RM1.5 bilion untuk dua loji Pengeluar Tenaga Persendirian (IPP) iaitu Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah Energy Ventures Sdn Bhd (JEV).

“Bon ini dibeli oleh KWSP, masing-masing pada 2003 dan 2005 sebelum 1MDB diwujudkan dan turut disokong oleh aliran tunai yang kukuh,” jelasnya.

Sebagaimana diketahui umum, katanya kedua-dua IPP itu telah dibeli oleh 1MDB baru-baru ini dan sejak itu telah dijual melalui satu urus niaga yang dilengkapkan pada Mac 2016, sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB.

Oleh itu, katanya kedua-dua bon tersebut tidak lagi berkait dengan 1MDB.

“Ketiga-tiga bon ini adalah bon perolehan tetap yang membayar kupon tetap dan tidak pernah tertunggak. KWSP tidak pernah mengalami kerugian daripadanya,” tegasnya.

Sebagai tambahan, katanya pendedahan KWSP kepada Sukuk RM200 juta yang dijamin kerajaan adalah hanya 0.02 peratus daripada keseluruhan aset KSWP iaitu RM731 bilion.

Sehubungan itu, katanya dakwaan ketiga tiga pemimpin pembangkang itu yang mendakwa KWSP menghadapi masalah kewangan atau 1MDB menyebabkan kerugian kepada KWSP adalah tidak benar dan berniat jahat.

“Sebagai bekas dan Anggota Parlimen yang masih berkhidmat, ketiga-tiga pemimpin pembangkang ini gagal melaksanakan tanggungjawab mereka untuk berlaku jujur kepada rakyat apabila membuat tuduhan mengarut seumpama itu dalam kenyataan bersama mereka.

“Mereka seharusnya tidak mengulangi tindakan seumpama ini pada masa akan datang,” katanya.

Katanya berdasarkan pembayaran dividen sejak 2000, situasai ekonomi serantau dan global masa kini serta prestasi tabung kewangan pekerja serta dana bersama lain di rantau ini, pemberian 5.7 peratus oleh KWSP harus diberi pujian.

Bagi tempoh sembilan tahun dari 2000 hingga 2008, KWSP telah merekodkan kadar pembayaran dividen purata sebanyak 4.99 peratus, dan dari 2009 hingga 2016, purata ini meningkat kepada 6.1 peratus, katanya.

“Saya yakin dengan pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh dua suku tahun sebelum ini dan lonjakan terhadap indeks Bursa Malaysia, insya-Allah, prestasi KWSP akan bertambah baik bagi tahun 2017,” katanya. – Bernama