Kurung kucing dalam tandas, ‘Terlajak Laris’ bidas pengkritik

 |Jul 14, 2017
Gambar kredit Instagram @kucingajaib.

KUALA LUMPUR: Tindakan jutawan kosmetik, Datuk Aliff Syukri yang menempatkan kucing kesayangannya di dalam sebuah tandas mendapat kritikan netizen sehingga ada yang menganggap ia adalah tindakan kejam.

Kejadian yang mula tular di laman sosial sejak Jun lalu mendapat perhatian sehingga rumah jutawan tersebut diserbu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan Jabatan Perhilitan Selangor.

Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati Aliff Syukri, atau juga dikenali sebagai abang ‘terlajak laris’ tidak melakukan sebarang penderaan sebaliknya dinasihati untuk menambahbaik tempat peliharaan kucing baka Savannah yang diberi nama Dodi itu.

Tidak cukup dengan itu, netizen terus mengkritik jutawan D’Herbs tersebut yang didakwa sengaja meletakkan Dodi di dalam tandas sempit sekali gus menyeksanya.

Menerusi laman Instagram khas kucingnya, @kucingajaib, Aliff Syukri hari ini membidas netizen yang melemparkan tuduhan terhadapnya tanpa bukti.

“Ni saya nak beritahu pada yang sedap-sedap mengecam kononnya kucing saya terseksa dan teraniaya kerana dibiarkan duduk di dalam tandas sempit.

“Korang tunggu lagi dua tiga bulan bila resort saya siap, saya buat satu rumah besar buat Dodi macam dalam zoo untuk tontonan ramai. Waktu tu orang kecam saya tu barulah terbeliak mata,” katanya.

Alif juga menyindir netizen yang hanya tahu melihat kelemahan, sebaliknya ketika kebaikan dilakukan, tidak pula dicanang.

“Masa ni waktu aku buat kebaikan tak nak pulak korang komen. Waktu aku buat keburukan, bukan main komen… itulah mulut mulut puaka, mulut manusia,” katanya.

Katanya lagi, kucingnya hanya ditempatkan sementara sahaja di dalam tandas itu dan keadaan di situ juga selesa untuk haiwan peliharaannya itu.

“Yang penting tandas itu selesa, bersih. Dah, Jangan duk kecam-kecam!” katanya lagi.

Dodi, kucing baka Savannah dibeli dengan harga RM30 ribu oleh Aliff Syukri dan dibela sejak April 2016 lagi. – MO