Kumpulan remaja panjat ‘Ipoh’ pohon maaf

Jan 4, 2017
Lapan remaja yang bertindak memanjat struktur papan tanda Ipoh tampil memohon maaf.
Lapan remaja yang bertindak memanjat struktur papan tanda Ipoh tampil memohon maaf.

Susulan aksi berani mereka memanjat struktur papan tanda Ipoh baru-baru ini, kumpulan remaja tersebut tampil membuat permohonan maaf.

Utusan Online melaporkan permohonan maaf itu dibuat menerusi sebuah sidang media yang diadakan di Ipoh hari ini.

Norfarihan Baharuddin, salah seorang dari lapan remaja itu berkata mereka mengakui kesilapan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Sebelum ini, Norfarihan yang enggan memberikan keterangan kepada media memberitahu Utusan melalui applikasi WhatsApp, “Saya penat kena kecam macam saya bunuh orang. Maaf.”

Di dalam sidang media hari ini, Nurfarihan turut menegaskan mereka tidak memanjat struktur itu untuk mengejar populariti.

“Bukan kami yang menyebarkan gambar aksi kami di papan tanda Ipoh,” Nurfarihan dipetik berkata, dan menjelaskan perkara itu tersebar setelah mereka ditemubual sebuah laman sosial.

Katanya lagi mereka tidak menyangka perkara itu akan menjadi viral.

Media sosial kecoh baru-baru ini dengan sebaran aksi lapan remaja ini memanjat struktur papan tanda Ipoh.

Pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) kemudiannya memulakan siasatan terhadap mereka kerana struktur tersebut tidak dibina untuk menampung beban tambahan.

Aksi merbahaya mereka juga mengundang pelbagai komen netizen.