Korea Utara diminta henti buat tuduhan melulu

 |Feb 24, 2017
Gambar fail Reuters.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim menggesa Korea Utara menghentikan tuduhan liar mereka terhadap Malaysia dan memberi peluang kepada pihak berkuasa negara ini menyelesaikan siasatan pembunuhan lelaki warga Korea Utara dipercayai Kim Jong-nam.

“Sebagai sebuah negara yang mempunyai kedaulatan dan sistem undang-undang tersendiri, Malaysia wajar diberikan ruang menjalankan siasatan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

“Bila berlaku sesuatu kejadian dalam negara kita, kita kena tunggu polis selesaikan siasatan. Kalau terus menuduh macam ini, ia sudah melanggar batasan. Jangan buat tuduhan tanpa fakta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelepasan Benih 36,000 ekor Udang Galah di Sungai Tambun Tulang oleh Jabatan Perikanan Perlis di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata Korea Utara mahupun wakil mereka tidak berhak mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dengan menyatakan Malaysia bersekongkol dengan negara lain dalam siasatan pembunuhan itu.

Pada 13 Feb lalu, lelaki warga Korea Utara berusia 46 tahun, dipercayai Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2) pada 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila tiba-tiba dihampiri dua wanita yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang dipercayai disembur racun.

Mangsa kemudian mendapatkan bantuan di kaunter khidmat pelanggan Klia2 sebelum digegaskan ke Hospital Putrajaya namun meninggal dunia dalam perjalanan.

Mangsa tiba di negara ini pada 6 Feb lepas dan memegang pasport dengan nama Kim Chol.

Susulan kes ini, Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol mengeluarkan beberapa kenyataan termasuk mempersoalkan siasatan polis serta keputusan Malaysia melakukan bedah siasat ke atas mayat lelaki warga Korea Utara itu.

Setakat ini polis Malaysia menahan empat suspek – seorang wanita menggunakan pasport Vietnam, seorang wanita warga Indonesia, seorang lelaki rakyat Malaysia dan seorang lelaki warga Korea Utara.

Lelaki warga Malaysia itu dibebaskan dengan jaminan polis. – Bernama