Korea Utara digesa hormati kedaulatan undang-undang Malaysia

 |Feb 22, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi FC
Gambar fail kredit Facebook Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi FC.

Korea Utara digesa supaya menghormati kedaulatan undang-undang Malaysia dalam siasatan kes pembunuhan lelaki warga Korea Utara dipercayai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi negara itu, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan negara itu tidak harus mempersoalkan kredibiliti siasatan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita hormati budaya dan hak asasi yang ada pada seseorang dan dalam waktu yang sama kita mengikut amalan diplomatik dan proses diplomasi antarabangsa.

“Perundangan sesebuah negara harus dihormati dan inilah yang diamalkan oleh Malaysia dan kita juga menghormati undang-undang negara lain jika terdapat warga Malaysia yang terlibat dengan aktiviti jenayah dan melakukan kesalahan membabitkan negara itu,” kata beliau kepada wartawan Malaysia di Bandung, Indonesia, hari ini.

Ahmad Zahid berada di Bandung bagi menghadiri Forum Penyiaran Antarabangsa Negara-negara Kerjasama Islam.

Ahmad Zahid menekankan bahawa Malaysia tidak mempunyai sebarang agenda dengan mana-mana warganegara asing mahupun mana-mana negara malah PDRM juga telah meminta kerjasama polis Interpol untuk mencari rangkaian di belakang kes pembunuhan itu.

Menteri dalam negeri itu berkata Malaysia yakin mana-mana negara pun mengamalkan sistem perundangan dan perbicaraan yang sama dan menghormati perbezaan pendapat.

Tetapi ia tidak bermakna Malaysia tertakluk kepada pendapat yang berbeza, katanya.

Mengenai keretakan hubungan diplomatik apabila Malaysia memanggil pulang Duta Besarnya di Pyongyang untuk proses perundingan, timbalan perdana menteri berkata ia adalah proses biasa dalam hubungan diplomatik.

“Kita ada perjanjian persefahaman bersama bantuan perundangan, kita juga ada perjanjian pertukaran antarabangsa dan itu adalah perkara yang menjadi keutamaan (dalam hubungan diplomatik),” katanya.

Baru-baru ini Duta Besar Korea Utara di Malaysia Kang Chol mencadangkan siasatan berhubung punca kematian Jong-nam dilakukan dengan kerjasama pihaknya dan PDRM atas alasan untuk mendapat keputusan yang lebih menyeluruh berhubung bedah siasat mayat.

Kang Chol turut mendakwa kononnya Malaysia cuba untuk menyembunyikan sesuatu
yang memerlukan lebih banyak masa dan bersekongkol dengan ‘kuasa-kuasa seteru’
yang berniat jahat terhadap mereka.

Beliau telah dipanggil ke Wisma Putra untuk memberi penjelasan lanjut.

Pada 13 Feb, seorang lelaki warga Korea Utara berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua orang wanita dikatakan menyapu muka mangsa dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Lelaki tersebut yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika
dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Media antarabangsa mula mengenal pasti lelaki itu sebagai Kim Jong-nam namun sehingga hari ini ujian DNA masih tidak dapat dijalankan kerana belum ada ahli keluarga Jong-nam yang tampil untuk membuat identifikasi mayat atau memberikan sampel DNA, menurut Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar. – Bernama