Konsul Jeneral China di Sabah hargai usaha pihak berkuasa

 |Jan 30, 2017
Konsul Jeneral China di Sabah Chen Peiji (kiri) berkata inside katamaran karam itu mendapat perhatian seluruh China termasuk pemimpin negara berkenaan. - Gambar kredit Xinhua/IANS
Konsul Jeneral China di Sabah Chen Peiji (kiri) berkata inside katamaran karam itu mendapat perhatian seluruh China termasuk pemimpin negara berkenaan. – Gambar kredit Xinhua/IANS

Konsul Jeneral China di Sabah Chen Peiji meluahkan penghargaan atas usaha pihak berkuasa Malaysia dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot pelancong yang karam pada Sabtu.

Katanya China amat gembira kerana pihak berkuasa Malaysia memperhebatkan usaha mengesan 6 lagi mangsa selepas 25 orang termasuk 3 yang ditemukan maut selamat dibawa balik ke sini.

Beliau berkata insiden itu mendapat perhatian seluruh China termasuk pemimpin negara berkenaan.

“Presiden saya Xi Jinping turut memberi arahan kepada saya. Pemimpin tertinggi itu benar-benar risau dan mahu kami bekerjasama dengan kerajaan Sabah dan Malaysia untuk selamatkan semua mangsa, jangan ada seorang pun yang tidak ditemukan,” katanya kepada pemberita di Jeti Polis Marin Kota Kinabalu malam tadi.

Chen dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Pang Yuk Ming serta Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana Maritim Ahmad Puzi Ab Kahar berada di jeti itu bagi menyambut ketibaan 23 mangsa termasuk 3 yang terkorban.

Kesemua mereka yang tiba menaiki kapal nelayan diselamatkan semalam. Petang semalam, 2 mangsa dibawa balik lebih awal selepas diselamatkan oleh seorang juragan bot pelancong yang menyertai SAR.

Menurut Chen beliau dimaklumkan oleh pihak berkuasa Malaysia bahawa lebih banyak aset akan dikerahkan ke kawasan SAR yang turut diperluas.

Mengenai mangsa yang diselamatkan semalam, Chen berkata beliau akan maklumkan kepada semua keluarga mangsa selepas segala proses yang perlu selesai.

Katanya beliau juga bersedia mempermudah dan membantu jika ada keluarga mangsa yang mahu datang ke negeri ini.

Dalam tragedi 10.00 pagi Sabtu itu, bot pelancong jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan 3 anak kapal tersebut karam dipercayai akibat angin kencang dan ombak besar semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, 56km di barat laut Kota Kinabalu. – Bernama