KKM pertahan laporan bedah siasat Mohamad Thaqif, arah siasatan lebih terperinci

 |Jul 12, 2017
Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi. – Gambar asal Facebook Dayang Thaqifah.

SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan tegas mempertahankan keputusan laporan bedah siasat terhadap pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghadafi, 11, yang dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus dan bukan kerana dipukul seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, pemeriksaan DNA oleh forensik mendapati ada jangkitan kencing tikus pada pelajar Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Kota Tinggi, Johor itu selepas proses bedah siasat dijalankan.

Menurutnya, beratus-ratus sampel dibuat oleh forensik bagi mengenal pasti punca kematian dan itu menyebabkan keputusan proses bedah siasat lewat dikeluarkan.

“Kalau pukul sahaja, tidak jadi macam itu, ada sebab yang mana kita sahkan mangsa meninggal dunia kerana sakit Leptospirosis,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pengajar, Institut Latihan KKM di Kolej Sains Bersekutu Sungai Buloh di sini, hari ini.

Dr Hilmi berkata, pegawai lapangan akan dilantik bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas madrasah dan rumah Allahyarham Mohamad Thaqif dalam masa terdekat ini bagi mengenal pasti punca dan individu lain yang mungkin dijangkiti penyakit sama.

“Pegawai kita di lapangan akan menjalankan siasatan di rumah dan sekolah mangsa,” katanya.

Sebelum ini Jabatan Kesihatan Negeri Johor dilaporkan sedang mengesan lokasi yang pernah dikunjungi Mohamad Thaqif bagi mengenal pasti jangkitan kuman kencing tikus itu dijangkiti individu lain.

Beliau menegaskan, pemeriksaan teliti perlu dilakukan.

“Kalau kita tidak siasat kes sebenar, ustaz tersebut akan dikenakan hukuman membunuh. Jadi nak dapatkan kepastian, kita kena kaji semula,” katanya.

Sehingga kini, pembantu warden yang didakwa memukul mangsa masih digantung tugas selepas dibebaskan dengan jaminan polis. – MO