Kit Siang ‘licik’ pilih tempat selamat kekalkan kuasa, kata penganalisis politik

 |Aug 8, 2017
Penasihat DAP Lim Kit Siang. – Foto fail MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Spekulasi bertiup kencang bahawa Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang akan membuat kemunculan semula di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Namun, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang baru kerana Penasihat DAP itu sebelum ini pernah memegang kerusi Kampong Kolam (1986-1990) dan Padang Kota (1990 hingga 1995) serta menjadi Ahli Parlimen Tanjong bagi tempoh 1986-1999.

Penganalisis politik, Datuk Prof Zainal Abidin Borhan berkata, Kit Siang juga pernah bertanding di beberapa negeri lain iaitu Selangor dan Melaka sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Gelang Patah pada PRU13.

Beliau beranggapan Kit Siang adalah ahli politik nomad yang sering berpindah kawasan bagi kepentingan politik.

“Dia (Kit Siang) dikatakan ‘licik’ yang melihat kepada kemenangan kerana barangkali yakin bahawa dapat memenangi majoriti yang besar di kawasan yang pengundinya adalah majoriti dari kaum Cina.

“Baginya, kemenangan itu akan memberikan kuasa tawar menawar dalam Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Jelasnya, kuasa tawar menawar dalam Pakatan Harapan akan berlaku sekiranya Kit Siang menang dan timbul pula isu siapa yang lebih berkuasa dalam parti tersebut.

Katanya, jika Kit Siang memilih untuk kembali ke Pulau Pinang, ini kerana dianggap tempat ‘selamat’ untuknya bagi terus bertahan kerana yakin negeri tersebut tidak akan jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya lagi, memandangkan sebahagian besar di Pulau Pinang adalah majoriti pengundi Cina yang memilih DAP, maka itu memberikan kelebihan kepada Kit Siang.

“Mungkin dia sudah lama dalam politik dan dia mungkin merasakan dirinya sesuai dijadikan tokoh yang disegani di kalangan ahli politik pembangkang dan partinya,” katanya.

Zainal berkata, dua negeri iaitu Melaka dan Negeri Sembilan menjadi pilihan lain kepada Kit Siang jika tidak bertanding di Pulau Pinang.

Jelasnya, Kit Siang juga dilihat tidak takut untuk bertanding sekali lagi di Gelang Patah, Johor kerana memenangi kerusi di kawasan tersebut dengan memperolehi lebih 50,000 undi.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Kit Siang dianggap sebagai ‘penarik’ bagi menarik pengundi untuk memilih DAP dan Pakatan Harapan pada PRU14 nanti.

Menurutnya, adalah menjadi strategi Pakatan Harapan untuk meletakkan tokoh terbilang seperti Kit Siang bagi memenangi undi.

“Kit Siang dianggap sebagai ‘tolak tak rebah’ dan boleh memenangi undi tidak mengira kawasan yang dipilihnya untuk bertanding.

“Dia akan masuk ke kawasan yang sukar dimenangi pembangkang dan akan menang kerana sepanjang karier dalam pentas politik, beliau tidak pernah hilang wang pertaruhan dan menang tipis,” katanya. – MO