Kit Siang bermain politik, kata Azalina

 |Feb 21, 2017
Gambar fail kredit Facebook Azalina Othman Said.
Gambar fail kredit Facebook Azalina Othman Said.

Penasihat DAP Lim Kit Siang didakwa bermain politik apabila menawarkan diri secara bersyarat untuk menyertai siasatan mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an, kata Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Kit Siang sebaliknya harus menyertainya dengan niat ikhlas jika beliau benar-benar berhasrat untuk membantu pasukan petugas khas yang ditubuhkan Kabinet untuk menyiasat kerugian itu.

Azalina berkata pasukan petugas khas itu terhad kepada bidang tugas tertentu untuk menganalisis dan meneliti kerugian forex melibatkan bank pada 1990-an, jika ada.

“Pasukan petugas itu akan mencadangkan tindakan yang sewajarnya diambil selepas selesai menjalankan siasatan awal dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Minggu lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata Kabinet bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM pada 1990-an.

Dalam respons kepada pengumuman itu, Kit Siang berkata beliau bersedia menawarkan diri untuk membantu siasatan itu, tetapi beliau hanya akan berbuat demikian jika siasatan juga dijalankan terhadap Bumiputera Malaysia Finance Ltd (BMF) dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Azalina berkata permohonan Kit Siang itu tidak berasas dan tidak relevan kerana 1MDB telah pun disiasat oleh pasukan petugas khas yang terdiri daripada Ketua Audit Negara, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pasukan petugas itu juga termasuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, yang juga termasuk anggota Parlimen pembangkang,” katanya lagi. – Bernama