Kiran Jassal menggalas ‘Menara Berkembar Petronas’ di atas bahunya

Jan 6, 2017
Kiran Jassal menggayakan rekaan Rizman Ruzaini. - Gambar kredit Facebook Miss Universe Malaysia Official Facebook Page.
Kiran Jassal menggayakan rekaan Rizman Ruzaini. – Gambar kredit Facebook Miss Universe Malaysia Official Facebook Page.

Pertandingan ratu cantik Miss Universe bakal memasuki edisi ke-65 apabila ia bermula pada 30 Januari ini bertempat di Manila, Filipina.

Yang pasti, pereka fesyen serta mereka yang bakal bertanding sudah tentu berlumba untuk membawa sedikit kelainan bagi memastikan mereka kelihatan unik di atas pentas yang akan disaksikan seluruh dunia itu.

Kiran Jassal, pemenang Miss Universe Malaysia 2016 akan mewakili negara di pertandingan itu nanti dan kelainan yang dibawa merupakan sesuatu yang sudah sinonim dengan rakyat Malaysia.

Diinspirasikan oleh Menara Berkembar Petronas, pakaian kebangsaan yang bakal digayakan Kiran direka oleh anak tempatan Rizman Ruzaini.

Melihat gambar yang dimuatnaik Facebook rasmi Miss Universe Malaysia, pakaian berupa jumpsuit itu menampilkan rekaan menara berkembar di atas kedua bahu Kiran.

Pakaian tersebut diperkenalkan kepada media semalam di sidang media yang dianjurkan Pertubuhan Ratu Cantik Kebangsaan bertempat di Marini’s on 57.

Berusia 20 tahun, Kiran atau nama penuhnya Kiranmeet Kaur Baljeet Singh Jassal merupakan seorang pelajar di International Medical University.

Turut hadir di sidang media itu semalam ialah Pengarah Pertubuhan Ratu Cantik Kebangsaan Elaine Daly, Rizman serta pengasas Fashion Valet Vivy Yusof.

Rizman juga turut bertanggungjawab mereka pakaian malam yang bakal digayakan Kiran.