‘Kerjasama PAS dan Pribumi semakin sukar’

 |Jan 20, 2017
Gambar fail.
Gambar fail.

Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat jalinan hubungan kerjasama antara parti Islam itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) semakin sukar berikutan desas-desus DAP inginkan jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjawan menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Pengarah PPP Mohd Zuhdi Marzuki berkata sekiranya desas-desus itu benar, PAS diyakini akan bertindak tegas untuk tidak lagi mewujudkan apa-apa hubungan kerjasama dengan Pribumi.

Mohd Zuhdi berkata demikian merujuk kepada dakwaan dibuat bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berhubung wujudnya pakatan rahsia antara Pribumi dan DAP untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Mukhriz Mahathir dan TPM kepada penasihat DAP Lim Kit Siang sekiranya PH menang pada PRU14.

“Dakwaan Tunku Abdul Aziz ini mulai memperlihatkan kebenarannya apabila Mahathir sendiri mengaku bahawa DAP memang meminta jawatan TPM dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh portal berita Antarapos semalam,” kata Mohd Zuhdi merujuk kepada bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang menafikan DAP meminta jawatan PM, sebaliknya mengakui mereka ada meminta jawatan timbalan.

“Perkembangan terbaru ini sememangnya mengejutkan, dan PPP yakin ia akan merencatkan sama sekali siri pertemuan antara PAS dan Pribumi untuk menjalin hubungan kerjasama.

“Buat masa ini, PAS sama ada melalui Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, belum membuat apa-apa keputusan untuk bekerjasama dengan PPBM. Yang ada ketika ini hanyalah siri-siri pertemuan dan program bersama untuk menerokai dan menjalin hubungan tersebut,” katanya lagi.

Tambah Mohd Zuhdi, PPP berasa yakin bahawa dengan perkembangan terbaru ini, ia akan menutup terus ruang kerjasama antara PAS dan Pribumi.

“PPP juga yakin seluruh pimpinan dan ahli PAS akan menentang keras sebarang tawaran yang ingin diberikan kepada DAP untuk menjawat jawatan-jawatan utama dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.”

SHARE