Kerajaan pusat sentiasa adil kepada Pulau Pinang, kata Kamalanathan

 |Jan 13, 2017
P. Kamalanathan menyampaikan replika cek kepada guru besar sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang sambil diiringi Pengarah Pelajaran Negeri (kiri) Shaari Osman dan Datuk K. Thangavelu (kanan) Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pulau Pinang. - Gambar MO kredit John Albert.
P. Kamalanathan menyampaikan replika cek kepada guru besar sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang sambil diiringi Pengarah Pelajaran Negeri (kiri) Shaari Osman dan Datuk K. Thangavelu (kanan) Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pulau Pinang. – Gambar MO kredit John Albert.

Kerajaan pusat tidak pernah menganaktirikan kerajaan negeri Pulau Pinang, khususnya dalam bidang pendidikan melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKC) di negeri ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, semua andaian negatif yang dibuat kerajaan negeri hanya persepsi semata-mata.

”Mungkin ramai diluar sana tidak tahu bahawa kerajaan persekutuan telah memperuntukkan RM28.38 juta kepada sekolah Tamil di seluruh negeri Pulau Pinang.

“Jadi sekiranya ada pihak yang tidak dapat menerima hakikat ini, senang saja bagi saya, tengok statistik dan nilai sendiri. Tak perlu saya huraikan dengan panjang lebar apa yang kami dah buat,” kata Kamalanathan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bernilai RM430,000 kepada 8 sekolah Tamil di negeri Pulau Pinang di Jabatan Pendidikan Negeri, pagi tadi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Shaari Osman Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Kamalanathan yang juga Anggota Majlis Tertinggi MIC (CWC) berkata ada segelintir pihak di Pulau Pinang yang bukan sahaja gagal memahami peruntukkan murni yang diberikan kerajaan pusat, sebaliknya menidakkan sumbangan dan mengeluarkan kenyataan yang kurang bernas.

Dalam perkembangan sama, Kamalanathan turut menegaskan Najib Razak merupakan satu-satunya Perdana Menteri dalam sejarah yang telah mempertimbangkan nasib pendidikan sekolah Tamil di Malaysia dengan menghulurkan bantuan sebanyak hampir RM800 juta selepas menerajui pucuk pimpinan peringkat persekutuan.

”Kalau tak silap saya, ini merupakan peruntukkan paling besar dalam pendidikan Tamil, yang tidak pernah dilaksanakan dimana-mana negara dalam dunia, kecuali India. Jadi, ini merupakan satu pengiktirafan paling besar seorang pemimpin terhadap komuniti India,“ tambah Kamalanathan lagi.

Peruntukan yang dihulurkan kepada sekolah Tamil melalui Kementerian Kewangan akan dikreditkan ke sekolah masing-masing untuk penyelenggaraan dan menaiktaraf kemudahan di sekolah Tamil di seluruh Malaysia.

Untuk rekod, terdapat 524 buah sekolah jenis kebangsaan Tamil dimana 366 buah adalah sekolah bantuan kerajaan manakala 158 adalah sekolah kerajaan.

SHARE
John Albert - MO correspondence.