‘Kerajaan Pulau Pinang beri gambaran tidak benar keadaan ekonomi negeri’

Jan 9, 2017
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.
Gambar fail kredit Wikimedia Commons.

Walaupun tindakannya meminta Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberikan penjelasan terperinci berkenaan lebihan bajet negeri itu dibalas dengan serangan peribadi, setiausaha agung Gerakan Liang Teck Meng berkata Lim turut mengesahkan beberapa perkara yang padanya membuktikan ‘propaganda berterusan DAP adalah pembohongan semata-mata.’

“Perkara pertama yang disahkan Lim adalah perbelanjaan operasi kerajaan negeri meningkat sebanyak tiga kali ganda sejak 2008 hingga 2015. Peningkatan besar ini dijangka akan terus naik berikutan perbelanjaan operasi di bawah Bajet Pulau Pinang 2017 diunjurkan lima kali ganda daripada angka pada 2008,” kata Liang.

Menurut Lim, ini adalah berikutan prinsip CAT yang diamalkan kerajaan DAP yang menghasilkan ‘pengekangan kos lantaran daripada tender terbuka yang kompetitif yang dapat memberikan harga terbaik.’

Liang membidas kenyataan ini dengan penjelasan bahawa ‘perbelanjaan operasi akan menurun dan bukannya melonjak kepada 300 peratus.’

“Perkara kedua yang diutarakan Lim ialah apabila beliau mengakui dakwaan ‘BN Pulau Pinang lebih banyak menjual tanah daripada DAP’ adalah tidak benar. Lim bersetuju kebanyakan tanah yang kononnya dijual BN dalam propaganda mereka adalah hak tebusguna tanah, dan bukan tanah sebenar.

“Bagaimanapun, Lim terus mengelirukan rakyat dengan mendakwa BN Pulau Pinang telah menjual hak tebusguna tanah ini pada RM1 bagi sekaki persegi dan dalam hal ini, bagi projek tebusguna Tanjung Tokong. Beliau mungkin terlupa yang RM1 sekaki persegi ini turut disertai dengan syarat iaitu apabila ditebusguna, pemaju perlu menyerahkan 10 peratus daripada kawasan tebusguna secara percuma kepada kerajaan negeri.

“Ini adalah tanah yang sama digunakan kerajaan Pulau Pinang untuk membayar projek kontroversi Terowong Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion dan bagi laporan kebolehlaksanaan yang menelan belanja RM305 juta. Ini membuktikan dakwaan kononnya BN Pulau Pinang menjual tanah atau hak milik tanah pada harga RM1 sekaki persegi adalah tidak benar kerana tanah yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada perjanjian jual beli ternyata lebih tinggi nilainya daripada itu. Pihak media seharusnya bertanyakan kepada YAB Lim jika ini benar,” kata Liang di dalam satu kenyataan hari ini.

Seterusnya, Lim mengesahkan Liang merupakan Pengerusi SPAN baharu berkuatkuasa 1 Disember tahun lepas.

Walaubagaimanapun, Liang mendakwa bahawa Lim menyalahkannya untuk pelbagai masalah yang berlaku sebelum tarikh tersebut.

“Apa yang sebenarnya berlaku ialah SPAN dan Kerajaan Persekutuan telah mengambil alih hutang semasa kerajaan negeri berjumlah RM655 juta dan mengubahnya kepada bayaran tahunan sebanyak RM14.56 juta di mana Kerajaan Pulau Pinang membayar kepada Kerajaan Persekutuan selama 45 tahun pada jumlah keseluruhan yang sama.

“Untuk itu, daripada satu hutang, ia ditukar kepada pemajakan. Sebagai pulangannya, Kerajaan Pulau Pinang menjanjikan aset air dan tanah kepada Kerajaan Persekutuan.
“Melalui kenyataan beliau minggu lalu, Lim mendakwa perolehan yang digunakan bagi membiayai kenaikan tiga kali ganda perbelanjaan kerajaan negeri adalah daripada cukai tanah dan pelbagai cukai lain berkaitan tanah.

“Laporan Ketua Audit Negara dengan jelas menyatakan perolehan daripada cukai tanah kekal sama. Ia hanya meningkat daripada RM93 juta pada 2008 kepada RM104 juta pada 2015, dengan jelas menunjukkan ia tidak mencukupi bagi menanggung kenaikan perbelanjaan.

“Peningkatan yang besar adalah daripada ‘Premium Tanah – Pemberian Hak Milik’ yang menunjukkan peningkatan setiap tahun daripada RM19 juta pada 2008 kepada RM324 juta pada 2015.

“Laporan Ketua Audit Negara turut menjelaskan perolehan adalah daripada penjualan tanah. Antara 2008 dan 2015, ia melibatkan jumlah RM1.22 bilion, secara ketara ia amat tinggi daripada RM574 juta jumlah terkumpul daripada lebihan bajet.

“Angka ini tidak termasuk penjualan aset lain oleh PDC dan tanah yang dilepaskan seperti bagi RM6.34 bilion untuk projek Terowong Pulau Pinang dan tanah yang dijual bagi menanggung projek Pelan Utama Pulau Pinang (Penang MasterPlan) bernilai RM46 bilion di mana Kerajaan Pulau Pinang turut menyatakan mereka akan membuat pinjaman jumlah berbilion yang masih tidak dinyatakan daripada bank.

“Pada perakaunan berbeza, Kerajaan Pulau Pinang turut menerima bayaran daripada penjualan tanah daripada PDC berjumlah RM173.5 juta antara 2013 dan 2015, bermakna perolehan daripada penjualan tanah negeri kini berjumlah RM1.4 bilion.

“Pemeriksaan kami terhadap akaun ini turut menunjukkan antara 2010 dan 2014, Kerajaan Pulau Pinang telah menutup beberapa akaun amanah kerajaan negeri seperti ‘Akaun Perumahan Awam Kos Rendah’ dan ‘Pinjaman Projek Bekalan Air Luar Bandar.’ Wang itu kemudiannya dipindahkan kepada wang terkumpul kerajaan negeri dan dijadikan sebagai pendapatan kerajaan negeri, di mana ia turut menyebabkan lebihan kepada kerajaan negeri. Jumlah yang dipindahkan melibatkan sekurang-kurangnya RM240.19 juta.

“Menggunakan penjualan tanah negeri dan manipulasi akaun berkaitan pemindahan dana menjadi pendapatan kerajaan negeri, menunjukkan Kerajaan Pulau Pinang sebenarnya mengalami defisit bajet setiap tahun sejak 2010. Daripada jumlah terkumpul lebihan RM574 juta dari 2008 hingga 2015, kerajaan Pulau Pinang sebenarnya mengalami defisit RM1.057 bilion.”

Liang turut berkata beliau telah mencabar Lim serta Penang Institute untuk mengesahkan 12 perkara pada penyusutan ekonomi dan kewangan Pulau Pinang atau memfailkan saman jika beliau silap. Malangnya, kata Liang, cabarannya tidak disahut.

“Antaranya, ia termasuk penemuan fakta Pulau Pinang mengalami pertumbuhan paling rendah bagi pendapatan median antara 2010 hingga 2015, keempat paling rendah dalam pendapatan isirumah median antara 2009 dan 2014 dan Pulau Pinang juga mengalami pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keempat paling rendah bagi tempoh 2008 hingga 2015, dengan banyak negeri lain mengatasi Pulau Pinang.

Liang juga mendakwa kerajaan Pulau Pinang berterusan bersandar kepada propaganda utuk memberi gambaran yang tidak benar kepada rakyat negeri itu.

SHARE