Kerajaan negeri nafi keluar kad identiti Bangsa Johor

 |Feb 3, 2017
Gambar dari Facebook.
Gambar dari Facebook.

Kerajaan negeri menafikan pernah mengeluarkan kad identiti Bangsa Johor, seperti yang sedang viral di media sosial.

Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani berkata setakat ini, tidak ada mana-mana pihak termasuk jabatan kerajaan negeri mengeluarkan kad berkenaan.

“Penggunaan identiti Johor bagi tujuan sedemikian rupa tanpa merujuk kepada pihak setiausaha kerajaan negeri adalah dilarang sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Azmi mengulas status seorang lelaki menerusi akaun Twitter hari ini, yang memberi maklumat supaya rakyat Johor yang masih belum mempunyai kad berkenaan agar mendapatkannya segera.

Dalam kad itu turut dipaparkan nombor kad pengenalan Malaysia dan di bawahnya terdapat nombor identiti Bangsa Johor.

Selain itu, kad tersebut kononnya boleh dijadikan sebagai kad debit untuk membuat pembelian dan membeli-belah.

Di bahagian belakang kad pula, tertera alamat pemegang kad dan nama waris terdekat termasuk penyataan kad itu untuk pengesahan pengenalan Bangsa Johor. – Bernama

SHARE