Keputusan tidak bekerjasama dengan Pribumi muktamad, kata Abdul Hadi

 |Feb 17, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Gambar fail kredit Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini mengulangi pendirian tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) jika parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Katanya keputusan itu adalah muktamad selaras dengan garis panduan yang ditetapkan PAS sebelum ini.

“Terpulang kepada dia (Pribumi) untuk bekerjasama dengan DAP atau Amanah tetapi PAS ada garis panduan iaitu kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan kedua-dua parti tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, di Marang.

Pengerusi Pribumi Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata parti itu akan mengadakan kerjasama dengan DAP susulan kenyataan Abdul Hadi yang PAS tidak akan bekerjasama dengan Pribumi untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Abdul Hadi membuat kenyataan itu selepas Mahathir berkata Pribumi memberi tempoh sebulan untuk PAS membuat keputusan berhubung kerjasama kedua-dua parti tersebut.

Jawatankuasa Induk Bersama Pribumi dan PAS sebelum ini pernah mengadakan pertemuan untuk membentuk kerjasama, persefahaman dan muafakat politik.

Sementara itu, mengulas tindakan Anggota Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar yang kerap mengkritik kepimpinan PAS, Abdul Hadi berkata tindakan disiplin akan dikenakan jika jawatankuasa disiplin parti mendapati Mahfuz bersalah.

“Saya dimaklumkan telah ada laporan yang dibuat ke atas beliau (Mahfuz) kepada jawatankuasa disiplin parti. Kita tunggu sahaja keputusannya nanti,” katanya.

Abdul Hadi turut menasihati pemimpin dan anggota PAS yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti atau tidak dapat menerima dasar-dasar PAS agar keluar parti. – Bernama