Kenyataan Mahathir mengenai Forest City fitnah, kata Najib

 |Jan 20, 2017
Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.
Gambar fail kredit Facebook Najib Razak.

Perdana Menteri Najib Razak berkata Mahathir Mohamad telah melakukan fitnah yang besar terhadap kerajaan negeri Johor dan Malaysia berhubung kenyataan bekas perdana menteri itu mengenai projek Forest City di Johor Bahru.

Najib menafikan dakwaan Mahathir bahawa seramai 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Johor di bawah projek itu, dan diberi kewarganegaraan.

“Bila kerajaan negeri Johor lulus Forest City, tanah itu ditebus dan (projek itu) kita jual kepada orang luar atas leasehold untuk tempoh 99 tahun sahaja, dan bila mereka membeli rumah, rumah itu di atas tanah kita. Jadi di mana soal kedaulatan negara kita terkorban,” katanya semasa merasmikan program Jom Bantu Rakyat di Desa Pandan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata rakyat China yang negara mereka sudah menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia dan memiliki pendapatan tinggi tidak akan berhasrat untuk menjadi warga negara Malaysia.

Najib berkata warga China yang menyertai program ‘Malaysia My Second Home’ juga tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia walaupun mereka menetap di negara ini.

Beliau berkata apa bezanya rakyat negara lain yang membeli rumah di Kuala Lumpur dengan rakyat China yang membeli rumah di Johor.

“Adakah kalau orang Amerika Syarikat atau Jepun beli rumah di Kuala Lumpur itu baik, tetapi orang China beli rumah di Johor itu tidak baik?” soal perdana menteri.

Najib turut menjelaskan mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini yang bertujuan untuk menarik pelaburan ke negara ini.

Beliau mengambil contoh kejayaan Dubai yang dahulunya adalah padang pasir, namun kini telah menjadi sebuah bandar metropolis yang hebat dan rakyatnya mendapat pendapatan tinggi hasil daripada pelaburan luar dan pembangunan tanah.

“Kalau dasar Dubai berjaya, kita juga boleh bangunkan tanah kita,” katanya.

SHARE