Kembara anak Kulai ke Tokyo demi makanan Jepun

 |Jan 13, 2017
Gambar kredit Facebook Chernglong Cheong.
Gambar kredit Facebook Chernglong Cheong.

Usia Cheong Cherng Long baru mencecah 18 tahun ketika dia meninggalkan kampung halamannya di Kulai, Johor, untuk mengejar impian menjadi chef masakan Jepun.

“Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di Kuala Lumpur dan datang ke sini untuk mendapatkan diploma.

“Saya bermula sebagai pembantu dapur sebaik tamat pengajian sebab saya benar-benar mahu menjadi chef,” katanya di sini.

Daripada hanya pembantu dapur, Cherng Long, 32, terus berusaha tanpa mengenal lelah di beberapa restoran sekitar ibu kota dan kini, beliau boleh berbangga dengan jawatan pembantu chef yang disandangnya.

Paling manis, beliau muncul sebagai pemenang pingat emas dalam pertandingan memasak berprestij, Cabaran Dunia Washoku 2016, bulan lalu.

Pertandingan disertai chef antarabangsa itu yang berlangsung di Tokyo, Jepun, dianjurkan oleh Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun pada 15 Disember lepas.

Pusingan akhir pertandingan menyaksikan Cherng Long mengalahkan sepuluh chef lain dari seluruh dunia, dengan pingat perak diraih Shaun Presland dari Australia manakala gangsa pula milik Songkran Comnew dari Thailand.

Dalam pertandingan itu, Cherng Long yang berpengalaman 19 tahun sebagai chef masakan Jepun, mempertaruhkan hidangan asli dikenali sebagai ‘Akamutsu no kenchin yaki’.

Cherng Long menyediakan hidangan itu dengan memanggang tofu dan sayur-sayuran yang dibalut di dalam ‘akamutsu’ (siakap merah) dengan sajian sampingannya ‘gobo’ (akar burdock) berintikan labu rebus.

Beliau turut memikirkan cara untuk menambah tempura ‘edamame’ (kacang soya hijau) ke dalam hidangan itu, mencerminkan kepekaan beliau dalam memberi kepelbagaian kepada warna serta tekstur keseluruhan sajian. Menurut penganjur pertandingan, Cherng Long memperoleh markah yang sangat tinggi bagi kesempurnaan hidangannya, termasuk dari segi rasa dan persembahan.

Pertandingan itu menerima penyertaan bagi 205 hidangan dari 26 negara dan wilayah. Selepas tarikh akhir, 23 hidangan daripada 20 calon yang lulus saringan awal dihasilkan semula di Tokyo mengikut resepi mereka.

Hidangan itu kemudiannya diadili berdasarkan elemen seperti pemahaman calon tentang teknik ‘washoku’ (hidangan tradisional Jepun), rasa, persembahan, keaslian dan daya maju di negara asal mereka.

Daripada 20 calon, sepuluh orang termasuk Cherng Long, dipilih untuk melangkah ke pusingan akhir.

Ditanya bagaimana beliau berupaya mengalahkan chef antarabangsa lain dalam pertandingan itu, Cherng Long dengan merendah diri berkata, disipin dan pengalaman adalah rahsia di sebalik kejayaannya.

“Bukan mudah untuk menjadi chef masakan Jepun kerana ia mengambil masa bertahun-tahun sebelum seseorang itu dapat menguasai seni dalam memasak makanan Jepun,” katanya.

Menjadikan mentornya, Hideaki Oritsuki sebagai contoh, Cherng Long berkata, Oritsuki mengambil masa 35 tahun untuk bergelar ‘Master Chef’ yang mengkhusus dalam pembuatan sushi, satu daripada pelbagai jenis hidangan Jepun.

Ketika ini, Oritsuki dan Cherng Long sama-sama bekerja di Oribe Sushi, sebuah restoran sushi terkenal di Jalan Kia Peng di sini, dengan disertai dua lagi chef Jepun.

Cherng Long berkata, satu daripada cabaran yang dihadapinya semasa pertandingan itu adalah apabila beliau perlu berada di dapur yang agak asing untuk menghasilkan hidangan itu sepanjang tempoh dua jam pertandingan berlangsung.

“Saya mengambil masa yang lama sebelum dapat menyesuaikan diri dengan tempat memasak disebabkan sesetengah daripada peralatan dapur berlainan daripada yang biasa digunakan di tanah air. Bagaimanapun saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat sebab saya sangat fokus untuk menyiapkan hidangan saya,” katanya.

Ditanya tentang persinggahan berikut dalam perjalanan seni kulinarinya, bapa seorang cahayamata ini berkata, beliau bercadang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan sushi pada Ogos tahun ini kerana mahu mencuba nasib. – Bernama

SHARE