Kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif akibat kencing tikus

 |Jul 10, 2017
Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi. – Gambar asal Facebook Dayang Thaqifah.

KUALA LUMPUR: Pelajar tahfiz Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi, 11, yang meninggal dunia pada 26 April lalu di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru yang disyaki mati didera disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus.

Keputusan bedah siasat menunjukkan penyebab kematian kanak-kanak itu adalah kencing tikus (Leptospirosis) dan bukannya trauma atau kecederaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, proses bedah siasat bagi mengetahui sebab kematian dilakukan pada 6 petang hari yang sama kanak-kanak itu meninggal dunia.

Menurutnya, bedah siasat itu menggunakan sampel tisu dan darah sebelum dihantar ke Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Jabatan Kimia bagi dianalisis.

Susulan itu, satu Jawatankuasa Khas Siasatan ditubuhkan dengan dianggotai Pakar Perunding Forensik yang mahir dan berpengalaman luas dalam pengedalian kes rumit.

“Hasil bedah siasat mendapati pelajar tahfiz terbabit meninggal dunia kerana penyakit dan bukannya trauma atau kecederaan seperti yang menjadi tular sebelum ini.

“Ia dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya membabitkan kegagalan organ untuk berfungsi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan merujuk laporan bedah siasat yang dikeluarkan pada 5 Julai lalu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata berdasarkan laporan perubatan itu, pihaknya akan mengemaskini kertas siasatan untuk mendapat arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya.

Terdahulu, Mohamad Thaqif telah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kakinya dipercayai akibat dipukul dengan getah paip oleh pembantu warden di madrasahnya.

Kecederaan tersebut telah menyebabkan kedua-dua kakinya dijangkiti kuman dan terpaksa dipotong.

Doktor turut memutuskan untuk memotong tangan kanannya yang turut dijangkiti kuman namun ditangguhkan kerana jantungnya yang tidak stabil sebelum kanak-kanak malang itu meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, pembantu warden terbabit ditahan untuk siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis. – MO