Keluarkan fatwa tanpa ilmu adalah satu dosa, kata mufti Pahang

Jan 4, 2017
Gambar fail kredit Ali Mansuri / Wikimedia Commons.
Gambar fail kredit Ali Mansuri / Wikimedia Commons.

Mana-mana pihak yang tidak tahu mengenai fatwa tetapi bertindak mengeluarkan sesuatu fatwa kepada orang ramai adalah melakukan satu dosa kerana berbuat demikian tanpa ilmu.

Mufti Pahang Abdul Rahman Osman berkata sekiranya fatwa yang dikeluarkan itu menyimpang daripada landasan Islam sebenar, ia boleh mendatangkan fitnah sekali gus memecahbelahkan masyarakat, lapor Bernama.

“Orang yang tidak tahu fatwa, (tetapi) dia mengeluarkan fatwa,… dia melakukan satu dosa (kerana) mengeluarkan fatwa tanpa ilmu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Rahman merujuk kepada kenyataan yang dibuat bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mendakwa jemaah yang melaksanakan ibadah haji menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diberi kerajaan tidak akan mendapat haji mabrur.

Mahathir berkata demikian kerana wang yang digunakan adalah haram kerana didakwa diseleweng oleh Perdana Menteri Najib Razak.

Abdul Rahman berkata tiada bukti kukuh dan sah bahawa wang digunakan adalah wang haram.

“Kita tidak boleh menentukan halal atau haram wang dana itu kerana tiada bukti jelas dan nyata, hanya fitnah dari pihak pembangkang, lebih-lebih lagi mereka yang berniat untuk memburuk dan menggulingkan kerajaan.

“Sebagai mufti Pahang pun saya tidak berani mengeluarkan kenyataan tanpa bukti. Bila tiada bukti, dari pandangan perundangan dan kefahaman Islam, kita tidak boleh menjatuhkan hukuman. Hanya Allah boleh menghukum,” tambahnya lagi.

Abdul Rahman juga berkata hanya Allah boleh menentukan samada ibadah haji seseorang itu mabrur atau tidak. – Bernama

SHARE