Kelantan cadang bina lapangan terbang di Machang

 |Mar 22, 2017
Kelantan mencadangkan sebuah lapangan terbang dibina di Machang. – Gambar fail kredit www.rgbstock.com.

Kerajaan Kelantan telah mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa di Bagan Estet, Machang.

Exco Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri Hanifa Ahmad berkata pemilihan Machang dibuat kerana ia adalah kawasan yang strategik yang terletak di tengah-tengah Kelantan, selain berhampiran Pasir Puteh yang mempunyai Pangkalan Perbekalan Tok Bali.

“Bagi menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) adalah tidak mungkin kerana mengikut Prosedur Operasi Standard, ia memerlukan kawasan seluas 800 hingga 1,200 hektar untuk dijadikan lapangan terbang antarabangsa.

“Ia sesuatu yang sukar kerana melibatkan pengambilan tanah membabitkan Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Taman Bendahara,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahmad Fathan [email protected] (PAS-Chempaka) yang bertanya sama ada dengan siapnya terminal baharu LTSIP akan menjadikan lapangan terbang tersebut sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Terdahulu Ahmad Fathan bertanyakan soalan mengenai status terkini projek pembesaran LTSIP di Pengkalan Chepa di sini.

Menyentuh mengenai pembesaran LTSIP ketika ini, Hanifa berkata ia membabitkan kos sebanyak RM450 juta dan pembinaannya akan bermula pada Oktober ini dan dijangka siap pada 2020.

Beliau berkata melalui projek itu terminal sedia ada akan diperbesarkan dan boleh menampung sebanyak empat juta pengguna setahun berbanding dua juta ketika ini.

“Selepas pembesaran LTSIP disiapkan, kita akan memohon kepada kerajaan Persekutuan untuk mengadakan penerbangan terus ke Mekah dan Madinah, selain dijadikan hab penerbangan untuk Asia Tenggara,” katanya. – Bernama