‘Kekurangan pemimpin DAP kemungkinan masalah teknikal’

 |Jul 14, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

KUALA LUMPUR: Berikutan kekurangan pemimpin DAP di dalam struktur kepimpinan terbaru Pakatan Harapan, seorang penganalisis politik menyifatkan perkara itu kemungkinan terjadi akibat masalah teknikal apabila DAP diarahkan untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.

Ini pandangan disuarakan Prof Dr Ahmad Atory Hussain ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Di dalam perkembangan yang sama, Prof Dr Ahmad Atory tidak menolak kemungkinan nama penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak tersenarai dalam kepimpinan terbaru pakatan pembangkang adalah sebagai usaha untuk ‘menarik’ hati rakyat.

Menurutnya, nama tersebut dianggap ‘sensitif’ dan boleh menjejaskan sesuatu perkara seperti isu perkauman.

Jelasnya, pelbagai usaha dilakukan yang dapat menarik perhatian pengundi namun ia terpulang kepada rakyat untuk menilai semula.

“Jika dahulu ada yang memandang serong dengan parti tetapi mungkin ada juga yang memikirkan semula kerana adanya tokoh dalam parti.

“Ini satu cara untuk menarik perhatian pengundi dan kita menanti keputusan pengundi sama ada terus kekal atau tidak dengan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Bercakap mengenai barisan pemimpin yang menerajui kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan seperti yang diumumkan malam tadi, Prof Dr Ahmad Atory berkata ia memberikan sisi pandangan yang jelas mengenai kedudukan pakatan pembangkang itu yang mengamalkan kepimpinan terbuka.

Tambahnya lagi, struktur kepimpinan yang baru ini disifatkan sebagai kepimpinan terbuka yang mengambil keputusan daripada semua pihak dan tidak tertumpu kepada satu suara sahaja.

“Nampaknya mereka sudah ubah struktur kepimpinan dan mewujudkan satu persepsi Pakatan Harapan yang berorientasikan kepada kepimpinan terbuka,” katanya.

Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharuyang menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum. Ini diikuti Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi, dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden Pakatan Harapan.

Pakatan turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Pribumi), Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) dan Mohamad Sabu (Presiden Amanah) sebagai Timbalan Presiden.

Ahmad Atory turut berpendapat bahawa pengumuman Dr Mahathir sebagai pengerusi menangkis segala dakwaan berhubung mantan Perdana Menteri itu yang dikatakan mahu berkuasa penuh dalam Pakatan Harapan serta mahu mendapatkan kuasa seperti dalam parti Barisan Nasional dahulu.

“Sekarang ini tidak boleh dikatakan Mahathir atau Anwar berkuasa penuh, kerana itu sudah tidak terjadi.

“Kini, semua keputusan mengambil kira pandangan daripada semua pihak dalam kepimpinan,” katanya. – MO