Kedai Nasi Ayam Eejiban: Netizen kecam, majikan tampil beri penjelasan

 |Aug 7, 2017
Gambar pekerja yang didakwa dilempang majikannya dikongsi pengguna Twitter @timlspbo.

PETALING JAYA: Seorang majikan di sebuah restoran nasi ayam terkenal di Melaka dikecam selepas dipercayai melempang pekerjanya lanjutan beberapa gambar yang di muat naik pelanggan menjadi tular di media sosial.

Menerusi perkongsian @timlspbo di laman Twitter, dia mendakwa melihat sendiri pekerja tersebut dilempang oleh majikannya sehingga menangis dalam kejadian petang semalam.

“Dia menangis la b*** sambil kemas meja! Depan meja aku pulak tu. Tau la dia Indon! Pastu mcm slow sikit! Tk payah amik advantage (kesempatan) mcm tu k**!” tulisnya.

Pengguna Twitter terbabit turut memuat naik gambar majikan yang dikatakan melempang pekerja tersebut dan perkongsian tersebut mendapat respon daripada netizen.

Dalam perkongsian tambahan, @timlspbo mendakwa pekerja tersebut dilempang kerana baldi yang dibawa terkena pelangan dan menimbulkan kemarahan majikan tersebut.

Majikan tersebut teruk dikecam netizen dan ada yang turut mendakwa majikan berkenaan pernah dilihat berkelakuan tidak bertimbang rasa dengan pekerjanya sebelum ini.

Sementara itu, pemilik kedai nasi ayam Ee Ji Ban Chicken Rice Ball, Lawrence Sio Chih Chien menafikan dakwaan dia memukul pekerjanya.

“Saya hanya menegur pekerja itu dengan melambaikan tangan dihadapan mukanya dan mengarahkannya untuk fokus bekerja.

“Saya memang tegas dengan pekerja tetapi tidak sampai mahu melempang atau mencederakan pekerja,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Menurutnya, sepanjang 15 tahun menguruskan restoran tersebut, dia tidak pernah mencederakan pekerja dan sentiasa mengambil berat dengan masalah yang dialami pekerja termasuk keadaan kesihatan dan keluarga.

Lawrence juga berkata pekerja di dalam gambar yang menjadi tular itu bukan dari Indonesia, sebaliknya merupakan rakyat Malaysia yang dijaganya sejak pekerja itu berusia 15 tahun.

Lawrence berkata dia kesal dengan tindakan individu yang memuat naik gambarnya yang didakwa memukul pekerja di laman Twitter, namun enggan mengambil tindakan polis berhubung perkara itu.

“Ini adalah sesuatu yang baru untuk saya dan memberi pengajaran untuk lebih berhati-hati dengan perkembangan semasa seperti trend di laman sosial ini.

“Saya percaya ini akan memberi kesan kepada perniagaan namun yakin dengan kualiti makanan yang disediakan, perniagaan ini akan terus bertahan,” katanya.

Lawrence berkata, sikap tegasnya terhadap pekerja adalah bagi memastikan restoran yang sudah 16 tahun beroperasi itu dapat memberikan perkhidmatan dan kualiti makanan terbaik kepada pelanggan.

Jelasnya, pekerja tersebut berusia dalam lingkungan 30 tahun dan tinggal bersamanya sejak 15 tahun lalu.

Menurutnya, pekerja itu ditemui abang sepupunya di sebuah perhentian bas dan dijadikan sebahagian daripada keluarganya kerana telah diabaikan keluarga.

Dakwanya, pekerja itu sering berperangai sebagai kanak-kanak dan tidak mempunyai penyakit yang boleh dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).

Lawrence turut mendakwa, pekerja yang dianggap sebagai anak angkatnya itu, pernah terjebak dengan najis dadah, namun dia berjaya mengubah kehidupan lelaki itu kepada yang lebih baik sekarang.

“Kejadian ini adalah salah faham dan kesal dengan tindakan individu yang menjadikan perkara ini tular sebelum mendapatkan penjelasan sebenar,” katanya. – MO