Katakan ‘tidak’ dengan tegas, nasihat CAP

 |Jan 17, 2017
Gambar kredit Facebook Consumers Association of Penang.
Gambar kredit Facebook Consumers Association of Penang.

Pengguna dinasihatkan berkata ‘tidak’ dengan tegas jika tidak mahu membeli polisi insuran yang cuba dijual melalui telemarketing (jualan menerusi telefon).

Ini merupakan nasihat yang diberikan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berikutan aduan diterima persatuan tersebut yang mendapati ramai pengguna terperangkap tanpa mengetahui mereka telah membeli polisi insuran yang ditawarkan melalui telefon.

Presiden CAP SM Mohamed Idris berkata perkara tersebut telah dibawa ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyatakan pihak mereka percaya bahawa syarikat insuran tidak seharusnya dibenarkan untuk menjual polisi insuran melalui telemarketing.

Alasan dikemukakan CAP ialah pengguna ditekan untuk bersetuju membeli polisi insuran, jawapan yang tidak jelas mungkin dianggap sebagai tanda persetujuan dan pengguna tidak menerima polisi mereka dan sebab itu tidak mengetahui bahawa mereka ‘dilindungi’.

“Bagaimanapun, walaupun kami mengemukakan kebimbangan kami, BNM jelas menyatakan bahawa polisi insuran melalui telemarketing dibenarkan dan sah di sisi undang-undang,” kata SM Mohamed Idris.

Katanya lagi, BNM meyakinkan CAP bahawa polisi insurans melalui telemarketing tidak boleh dilakukan berasaskan ‘apa sahaja’ dan menyatakan terdapat perkara yang perlu dipatuhi oleh pihak syarikat insuran dalam menggunakan kaedah penjualan insuran menerusi telefon.

“Akhir sekali, kami menasihati pengguna untuk bercakap dengan jelas ketika perbualan melalui telemarketing. Memandangkan tiada kontrak bertulis diperlukan bagi penjualan polisi insurans, perbualan melalui telemarketing itu sendiri menjadi kontrak yang mengikat dengan undang-undang antara anda dan syarikat insurans. Jika pertikaian timbul antara dua pihak, perbualan melalui telemarketing akan dirujuk. Jika anda tidak mahu membeli polisi insurans, katakan tidak dengan tegas,” kata SM Mohamed Idris.

SHARE