Kanak-kanak 12 tahun lari dari rumah, dakwa didera bapa

 |Jul 10, 2017
Gambar fail kredit www.rgbstock.com.

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun bertindak melarikan diri dari rumahnya, di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Prima di Subang Jaya, dakwanya akibat tidak tahan didera bapanya.

Kanak-kanak perempuan tersebut ditemui duduk berseorangan di sebuah stesen minyak di Puchong Prima kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa ditemui seorang lelaki berusia 21 tahun dan memaklumkan sering dipukul oleh bapanya hingga menyebabkan dia takut untuk pulang ke rumah.

“Mangsa mendakwa dirinya sering dipukul dengan rotan kerana sebab yang remeh.

“Akibat dipukul, mangsa mengalami kesan calar dan luka di kedua belah lengan, peha, betis dan kedua belah kaki serta kecederaan di kepala,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, ibu mangsa turut didakwa melarikan diri kerana sering bergaduh dan dipukul bapa mangsa.

“Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – MO