Kabinet setuju tubuh “task force” siasat isu forex BNM

 |Feb 15, 2017
Gambar fail kredit propertyhunter.com.my.
Gambar fail kredit propertyhunter.com.my.

Kabinet hari ini bersetuju menubuhkan sebuah “task force” untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing (forex) oleh Bank Negara Malaysia pada sekitar tahun 1990-an, menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.

“Task force ini akan dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk individu-individu yang dihormati dan berpengalaman dalam bidang-bidang tertentu.

“Penubuhan task force ini merupakan langkah permulaan untuk mendapatkan semua fakta-fakta yang berkaitan – menganalisis semua Hansard rasmi mesyuarat-mesyuarat Parlimen pada masa itu, minit-minit mesyuarat kabinet yang terdahulu, laporan¬† Ketua Audit Negara, Bank Negara Malaysia dan laporan-laporan lain daripada agensi-agensi yang berkenaan,” kata kenyataan tersebut.

Di samping itu, task force yang bakal ditubuhkan juga  bertujuan mengetahui apa sebenar yang telah berlaku, jumlah kerugian sebenar dan sama ada terdapat salah laku tatacara pentadbiran kewangan serta adanya tindakan pihak tertentu untuk menutup apa yang sebenar berlaku dari pengetahuan rakyat Malaysia selama ini.

“Task force ini akan mengemukakan syor dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh kabinet dalam tempoh terdekat dan tindakan selanjutnya termasuklah penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu berdasarkan hasil siasatan itu nanti.

“Tindakan kerajaan ini membuktikan komitmen dan ketelusan kerajaan untuk memastikan urusan Bank Negara pada ketika itu dijalankan mengikut urus tadbir yang ditetapkan. Kerajaan akan sentiasa terbuka dan transparen dalam siasatan ini memandangkan ianya melibatkan Bank Negara Malaysia dan dikatakan skandal kewangan terbesar.”