Juruletup bunga api diminta tampil bantu siasatan

Jan 4, 2017
Insiden bunga api sempena sambutan tahun baru di Klang mengakibatkan 14 orang mengalami kecederaan.
Insiden bunga api sempena sambutan tahun baru di Klang mengakibatkan 14 orang mengalami kecederaan.

Seorang juruletup bunga api dan tiga pembantunya telah diminta tampil bagi membantu siasatan insiden letupan bunga api di Fiesta Gegar Klang 2016 pada malam tahun baru.

Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Selangor Abdul Samah Mat sebagai berkata polis sudah pun mengenal pasti identiti mereka yang merupakan lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 40an.

Abdul Samah berkata polis memberi tempoh sehingga esok untuk mereka tampil secara sukarela.

“Jika mereka gagal berbuat demikian, kita tiada pilihan melainkan untuk menahan mereka,” kata beliau seperti dilaporkan Sinar Harian.

Abdul Samah juga memaklumkan siasatan awal mendapati mereka tiadak lesen atau tauliah untuk mengendalikan pertunjkan bunga api sempena fiesta tersebut.

14 orang termasuk empat kanak-kanak cedera di dalam insiden yang berlaku di Komplek Sukan Pandamaran, Klang di mana bunga api dikatakan telah meletup di atas tanah.

Setakat ini polis sudah memanggil 21 orang untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.