Jumlah mangsa banjir Kelantan meningkat

Jan 5, 2017
Gambar kredit Abe Navigator / Facebook Info Banjir Kelantan.
Gambar kredit Abe Navigator / Facebook Info Banjir Kelantan.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 12,636 orang daripada 4,307 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 12,400 orang daripada 4,211 keluarga malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata 62 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan kesemua mangsa banjir tersebut di lapan jajahan negeri ini.

Jumlah mangsa banjir di jajahan Pasir Mas ialah 8,679 orang daripada 3,131 keluarga yang ditempatkan di 34 pusat pemindahan, seramai 1,965 orang (649 keluarga) di empat pusat pemindahan di jajahan Tumpat, manakala seramai 715 orang (184 keluarga) di lima pusat pemindahan di jajahan Kota Bharu, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata di jajahan Tanah Merah terdapat 314 orang (79 keluarga) ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, 40 orang (8 keluarga) di sebuah pusat pemindahan di jajahan Kuala Krai, 568 orang (160 keluarga) di empat pusat pemindahan di jajahan Pasir Puteh, 245 orang (68 keluarga) di enam pusat pemindahan di jajahan Machang dan di jajahan Bachok terdapat 110 orang (28 keluarga) di sebuah pusat pemindahan.

Beliau berkata cuaca baik sejak semalam dijangka akan mengurangkan jumlah mangsa banjir di Kelantan hari ini.

Dalam pada itu, hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter (m) namun menunjukkan trend penurunan setakat 8 pagi ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang 10.17m berbanding 10.29m malam tadi.

Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah mencatatkan bacaan menurun 14.38m berbanding 15.92m malam tadi (paras bahaya 16m) manakala sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal. – Bernama

SHARE