Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan

Jan 6, 2017
Gambar kredit Facebook Media Mahdzir Khalid.
Gambar kredit Facebook Media Mahdzir Khalid.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 13,449 orang daripada 4,790 keluarga setakat pukul 9 pagi ini berbanding 14,074 orang daripada 4,996 keluarga malam tadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi Infobanjir, sebanyak 36 pusat pemindahan masih dibuka bagi menempatkan mangsa banjir di empat jajahan di negeri ini.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu sebanyak 9,673 orang daripada 3,598 keluarga yang ditempatkan di 27 pusat pemindahan diikuti jajahan Tumpat sebanyak 3,549 orang daripada 1,139 keluarga di enam pusat pemindahan.

Sebanyak 190 orang (44 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Pasir Puteh dan 37 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Kota Bharu.

Dalam pada itu, hanya paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu sembilan meter (m) namun menunjukkan trend penurunan setakat 8 pagi ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang adalah 9.90m berbanding 10.06m malam tadi.

Bacaan paras air Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah menurun kepada 13.17m berbanding 13.60m malam tadi, di bawah paras bahaya pada 16m manakala paras air sungai utama yang lain telah kembali ke paras normal. – Bernama

SHARE