JPJ ulangi amaran akan sita motosikal yang dijadikan teksi

 |Feb 24, 2017
Gambar fail kredit Facebook Dego.
Gambar fail kredit Facebook Dego.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Nadzri Siron hari ini mengulangi ingatan jabatan itu akan menyita motosikal yang dijadikan teksi susulan pengharaman perkhidmatan yang ditawarkan oleh Dego Ride.

Katanya perkara itu telah dimaklumkan kepada pemilik syarikat ketika mereka hadir ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini pada 21 Jan.

“Kerajaan telah mengarahkan perkhidmatan Dego Ride dihentikan atas faktor keselamatan, diikuti langkah advokasi dan saman yang dibuat JPJ ke atas pemilik motosikal.

“Kita juga telah memberi penerangan kepada pengendali dalam aspek keselamatan dan penggunaan motosikal sebagai kenderaan pengangkutan…dan jika masih diteruskan tindakan sita terhadap motosikal boleh diambil mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya setakat ini pihaknya mengeluarkan saman kepada tiga pemilik motosikal yang menyediakan perkhidmatan teksi motosikal kerana melanggar syarat Lesen Kenderaan Motor.

Dua daripada mereka disaman di sekitar Kuala Lumpur manakala seorang lagi di Selangor dan ketiga-tiga mereka akan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan, katanya.

Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai sebelum ini telah memberi amaran kepada syarikat perkhidmatan teksi motosikal itu agar tidak mencabar undang-undang negara setelah diarahkan menghentikan perkhidmatan tersebut atas faktor keselamatan.

Dego ride yang beroperasi menggunakan aplikasi maya, diperkenalkan pada November lepas dan semakin popular dalam kalangan warga kota sebagai alternatif pengangkutan awam yang murah dan pantas untuk mengatasi masalah kesesakan di ibu negara.

Perkhidmatan yang menyamai ‘ojek’ di Indonesia dan ‘motorsai rap chang’ di Thailand itu menawarkan tambang serendah RM2.50 untuk perjalanan sejauh tiga kilometer dan tambahan RM0.60 bagi setiap kilometer berikutnya.

Terdahulu, Nadzri melancarkan Pelan Integriti JPJ 2016-2020 yang antara lain bertujuan membentuk anggota JPJ yang berintegriti bagi membendung gejala rasuah dan penyelewengan.

Pelan itu katanya menggariskan lima strategi teras serta 26 program untuk memacu pembudayaan integriti dan tadbir urus terbaik dalam sistem penyampaian jabatan.

Beliau berkata pelan akan disemak semula selepas dua tahun pelaksanaannya bagi memastikan keberkesanan.

Ditanya tahap integriti anggota JPJ khususnya berkaitan rasuah dan penyelewengan ketika ini, Nadri berkata sebagai organisasi berteraskan penguatkuasaan dan perkhidmatan beliau mengakui jabatan itu tidak sepenuhnya bebas ketirisan.

“Kita tidak kata JPJ 100 peratus tidak ada ketirisan, ada sebilangan kecil kes tetapi ia bukan perbuatan rasuah sebaliknya hanya tidak mematuhi prosedur operasi standard perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 64 tindakan tatatertib diambil terhadap anggota JPJ pada tahun lepas daripada lebih 7,800 petugas di seluruh negara. – Bernama